Sunday, 18 September 2022

Kolam Minda



Semalam bersama isteri, anak saudara dan mertua, menghantar cucunya pulang ke asrama. Hari ini wajah masih merengut, gusi berdenyut, menjalar ke kiri kepala, Aurora pula demam tak sekolah lagi, menambah getar di hati lara seperti Yusaini. Teringatkan irama sang Idris yang sunyi tanpa bait-bait kata, lalu berlagak seperti sang penyair aku pejamkan mata yang sedari tadi merenung kosong ke horizon, kerutkan dahi, meraba-raba menjala dalam kelamnya kolam minda lalu membawa pulang beberapa baris cerita, usai sesingkat waktu dalam kereta sahaja, alhamdulillah. Tanya pada jiwa apa nak di bangga? Apa dalam raga semuanya ilham dari Yang Maha Bijaksana. Masakan bisa aku mendabik dada, sombong minta jauh kerana ia sifat sang iblis, bukan hamba, hati berduka lara, terhiris kerana sedar suara tidak selancar jari yang bercerita, selebihnya aku teruskan melangkah dalam hiba.  



Saturday, 23 February 2019

Tentang Rose Fi Amanillah dan masa lalu.

"Ada masa-masanya, masa lalu itu merentas masa dan hadir di depan mata, hadir di dalam kehidupan kita hari ini, tanpa di rancang, melainkan rancangan Dia jualah semata-mata.. Doa di depan Kaabah tidak semestinya dimakbulkan. Di dengari itu pasti tapi dimakbulkan itu tidak semesti"

Jam sudah menunjukkan sekarang sudah pukul 3.07 minit pagi. Aku masih tak dapat lelapkan mata, dalam hati ini ada seribu satu kebimbangan kerana tidak bekerja. Apa yang nak ditakutkan? Oh ya aku sudah bergelar seorang suami dan ayah. Tapi yakinlah! Allah ada..

Kerja pun tidak, sudah macam biawak asyik terperap tidur dalam bilik sampai ke tengah hari. Makin hari makin rasa macam bapak tak guna, jadi hari ini keluar sebentar jalan petang-petang di Lake Garden. Terserempak pula dengan masa lalu.. Cantik kan dia? Tanya sang isteri. Aku diam, iyakan tidak, nafi pun tidak, tidak berminat nak jawab. Saya tidak sedar kehadiran dia, awak yang nampak dan cakap pada saya. Siapa suruh cakap. Awak yang baca blog saya dari sebelum kita jumpa, jadi awak tahu itu hanyalah sekadar masa lalu. Saya tidaklah marah, saya faham.. cuma saya tidak berminat untuk bercakap lagi tentang ini.

Doa di depan Kaabah pasti dimakbulkan tuhan. Selalu kita dengar itu. Tapi bagi aku, doa di depan Kaabah tidak semestinya dimakbulkan. Mungkin ya mungkin tidak, terserah pula cepat atau lambat dan apa pun jawaban-Nya, Dia saja yang tahu apa yang terbaik untukmu kerana Dialah sebaik-baik Perencana.

Di dengari itu pasti tapi dimakbulkan itu tidak semesti. (Hanya sekadar berdasarkan pengalaman sendiri, jika ada yang mahu menegur kata-kata aku ini bahaya, takut melibatkan akidah, silakan saudara-saudariku saya sedia menerima teguran dan mengubah apa yang ditulis). Dia mendengar doa dan tangisku di depan Kaabah, di puncak Bukit Arafah, tapi tidaklah Dia memberi apa yang aku minta. Sebaliknya Dia memberi apa yang aku perlu, itulah Dia temukan saya dan awak. Dia tahu masa lalu itu tidak akan mahu menjalani kehidupan yang seperti awak lalui bersama saya sekarang. Serba kurang..

Dalam ramai-ramai, awak orang yang paling kerap ingatkan saya semula berapa besarnya rasa kasih dan sayangku pada Kyoko, berapa kuatnya aku bertahan mengejar masa lalu sehingga di hadapan Kaabah aku berdoa agar Allah menjadikannya Separuh Aku? Tapi ternyata doaku tidak dimakbulkan Allah walaupun aku menangis merintih. Aku juga tidak mengerti (pada waktu itu) kenapa Allah masih tidak mendengar permintaanku walaupun aku merintih di hadapan Kaabah dan di atas puncak Bukit Arafah? Ternyata kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk ku, Dia tahu siapa yang mampu menyayangiku seadanya aku. Lebih tepat lagi Dia hantarkan awak dan melalui awaklah Dia memberi kasih-sayangNya terhadap saya. Dan saya menyayangimu lebih dari sesiapapun, tetapi tidak pula boleh saya mengutamakan engkau melebihi ibuku, saya menyukaimu satu ketika dulu tapi takdir tidak mendekatkan kita, dan hari ini takdir telah menyatukan kita tanpa pernah kita rancang dan sangka.

Apa yang aku rasa setiap kali masa lalu ini hadir di depan mata hanyalah - sakit. Tidak bermaksud aku berdendam, sudah lama aku let go, memikirkan aku juga ada melukakan perasaan orang, jadi aku memaafkan dengan harapan aku juga dimaafkan manusia dan tuhan. Pernah awak beritahu pada saya yang awak berkecil hati kerana saya tidak menulis apa-apa pun tentang awak disini tapi awak jangan lupa, masa lalu yang satu ini juga pernah saya menulis tentangnya di sini tapi sudah saya padamkan, bukan kerana awak, malah saya telah padam ia demi diri saya sendiri, sebelum saya jumpa awak. Saya padam kerana tidak ada apa yang bagus tentangnya untuk saya kenang melainkan sebuah kesakitan. Adakah ini sudah kedengaran cukup adil untuk awak? Saya harap jawabanmu adalah iya.

Jadi kenapa harus kau rasa cemburu bila membaca kisah-kisah lama perjalanan hidupku? Aku memang sengaja tidak buang penulisan-penulisan lain bukan kerana masih tidak dapat melepaskan cerita lama, tapi kerana aku mahu ingat saat-saat kehampaan itu supaya aku sentiasa beringat bagaimanakah rasanya bila berbohong dan dibohongi, pengkhianatan dan dikhianati, menyayangi dan disayangi, pengorbanan, menghargai dan dilupakan, agar aku dapat menjadi suami yang lebih baik untuk isteri ku kelak, supaya aku tidak melukakan dia kelak kerana aku tahu bagaimana rasanya bila terluka. Sebesar mana pun aku mengasihi orang-orang terdahulu dalam hidupku, tidakkah kau sedar aku meletakkan kedudukanmu lebih tinggi daripada mereka? Hanya kau yang tahu apa aku bercakap benar atau tidak. Dan dari penulisan yang lalu juga jika aku sendiri yang membacanya semula, aku akan melihat sendiri kelemahanku, ketidakmatanganku dalam apa jua perkara, dan kebodohanku.

Dan mungkin lebih baik jika kau pandang ini semua dari satu sisi yang lain. Janganlah membanding-bandingkan siapa yang aku lebih sayang, yang ini dengan yang itu lebih cinta yang mana? Kelemahan yang kau cari, kelemahanlah jua yang akan kau temui kerana aku juga hamba hina manusia biasa. Pandanglah dari satu sisi di mana, itulah aku dan sejauh mana kesanggupanku bila sudah menyayangi makhluk yang bernama perempuan. Janganlah kau cuba menduga sejauh mana aku akan mengejarmu dan mengasihimu dengan jalan berbohong atau berlaku khianat kerana aku memang tidak akan mengejarmu jika kau berbuat sedemikian walaupun sekali, aku lebih santai dan segalanya lebih lancar kerana kau tidak berbuat akan apa yang aku larang dan tidak suka. Mungkin itu sebabnya aku tidak menulis tentangmu kerana aku sedang menikmati hidupku kini. Sedangkan banyak yang aku tulis itu tertulis bila aku merasa sedih. Tidak semua tetapi kebanyakannya.

Orang-orangan selalu menyalahkan tuhan, selalu mempersoalkan dimanakah adilnya tuhan jika seseorang itu sudah ditetapkan di Loh Mahfuz tentang kebahagiaan dan kedukaannya, kekayaan dan kemiskinannya, baik dan jahatnya, malang dan nasib baiknya, syurga atau nerakanya? Semuanya sudah tertulis semenjak kita belum lahir ke dunia.

Kenapakah kau bermimpi tentangku sedangkan kita tidak pernah bertegur sapa sebelum itu? Siapa sangka aku yang hanya menyukaimu hanya dari jauh tidak pernah berani bertegur sapa, telah hidup bersama hari ini? Pernah dengar orang kata "kalau dia tak keluar tadi, mungkin dia masih hidup sekarang, tidak mati di atas jalanraya"? Kenyataan seperti itu adalah salah sama sekali. Setiap tindakan kita membuka lebih banyak pintu kemungkinan. Beratus, beribu, berjuta malah aku percaya beratus-ratus juta kemungkinan. Aku tak tahu apa ayat yang tepat untuk buat kau faham tapi aku boleh bagi satu contoh, pernah tengok Avengers : Infinity War? Doctor Strange cuba lihat ke masa depan, apakah ada kebarangkalian mereka boleh mengalahkan Thanos? Ada, dan cuma satu kemungkinan dalam beribu. Dan mereka mungkin sudah menang jika Star Lord tidak mengikut perasaan, jika Spider Man sempat tarik keluar glove Thanos. Bolehkah kita menyalahkan Star Lord kerana yang dibunuh itu orang yang dia cinta? Atau Spider Man yang salah kerana tidak cukup kuat untuk segera melucutkan glove Thanos? Bagaimanakah keadaannya jika Thor yang berada di tempat Spider Man? Berjaya? Atau masih ada pelbagai kemungkinan yang membuatkan Thor gagal dengan lebih teruk? Atau Black Panther? Winter Soldier? Kita boleh letak sesiapa saja disitu tapi tiada siapa yang akan tahu apa kesudahannya. Mungkin ya, mungkin tidak tapi yang pasti kita sememangnya punya pilihan di atas tindakan kita sendiri. Aku tak berani dan tak pandai cakap lebih tentang ini, sebaiknya kita cari orang yang punya ilmu dan memang bidangnya untuk berbicara dengan lebih dalam tentang ini. Maksud aku ialah tentang tuhan, tentang mereka yang menyalahkan agama dan tuhan di atas kesusahan dan apa pun musibah yang mereka terpaksa harungi, bukan tentang Infinity War.

Lantas, dari apa yang kita lalui petang tadi, adakah sebarang kemungkinan aku kembali merasa cinta pada masa lalu? Adakah kemungkinan aku bertegur sapa dengannya? Adakah kemungkinan aku berbohong pada engkau aku harus meninggalkan kau di situ dan pergi ke tempat lain kerana ada urusan, walhal aku berpatah balik untuk mencari masa lalu? Hasil dari pembohonganku terhadap engkau ini, adakah kemungkinan aku bersama dengan masa lalu? Malah lebih ekstrim, aku terus melutut di kakinya tadi, atau memeluknya menyatakan betapa aku rindu? Atau aku terus mencari dia di rumah untuk menyatakan perasaanku yang tak pernah padam, aku tahu di mana dia tinggal. Mungkin tidak, mungkin dia tidak pernah punya perasaan padaku. Mungkin ya lantas dia mahu hidup bersamaku, segalanya mungkin jika aku memilih pintu-pintu lain siang tadi. Adakah kemungkinan ini semua? Jawabannya - ADA.

TAPI. Tapi di dalam semua kemungkinan-kemungkinan ini, apa yang berlaku tadi? Aku memilih satu pintu dimana aku telah menundukkan pandanganku, mengelak daripada bertembung bersemuka, malah aku membelakangi masa lalu. Aku memilih untuk terus melangkah meluangkan masa yang ada untuk bersama anak kecil ini dan keluarga, ada banyak lagi yang harus aku bimbangkan tentang apa yang bakal mendatang. Kau boleh mula merasa bimbang jika dengan tiba-tiba aku memilih untuk tidak pulang ke ibukota esok, atau tiba-tiba aku jual tiket yang sudah di beli, lagi teruk, aku arahkan kau dan anak pulang dahulu, aku tinggal di sini.

Maka benarlah setiap kedukaan itu berserta hikmah, tidaklah kita di uji dengan sia-sia, perasaan sakit itulah yang saya bawa bersama sampai ke hari ini, bukan dengan niat mahu membalas jika berpeluang, sedikitpun tidak diiringi amarah, tetapi sekadar hanya untuk mengingatkan diri jika saya tahu bagaimana rasa itu, semoga saya tidak berbuat sedemikian pada orang, pada awak. Hakikatnya, setiap makhluk yang Dia hadirkan dalam hidup kita sehingga hari ini, ada memberi bermacam-macam pelajaran, hanya kita saja mahu mengambil pelajaran atau tidak. Dan pada ketika awak ambil gambar ini, masa lalu itu mungkin sedang melintas di belakang saya.. entah, saya tidak menoleh untuk ambil tahu. Kerana ia hanyalah sekadar masa lalu, biarlah ia terus dibelakangku.

Awak pun tahu, saya pernah nyatakan jika saya berpeluang untuk jumpa dan berbicara dengan masa-masa lalu, saya hanya mahu memohon kemaafan. Memang ada orang yang saya sudah minta maaf tapi jawaban yang saya dapatkan dari permintaan maaf itu hanyalah “yang tu nak maafkan atau tak tengok dululah macam mana”.. Apa lagi yang boleh saya katakan, telan sajalah.

Monday, 7 August 2017

Terima kasih segalanya.

Hidup biar mengenang jasa, sementara kau terus mara ke depan dengan kehidupanmu, tidak kiralah ia penuh dengan episod-episod kejayaan atau di penuhi kisah-kisah duka, tidak kiralah kau kaya-raya berjaya atau biasa-biasa saja, kedua-duanya adalah ujian untuk setiap di antara kita. Janganlah di lupakan kudrat-kudrat lama yang sentiasa berada di sisimu dari engkau masih berhingus, kekuatan yang tuhan kirimkan untuk memimpinmu saat kau masih bertatih, sehinggalah kau beranjak dewasa masuk ke alam pra-sekolah, dia yang memandikanmu dan menyiapkan pakaianmu, menyikat rambutmu, dan menempel bedak di pipimu. Di masa-masa kau masih kecil comel dan semua orang menyayangimu. Yang sanggup menunggu di sekolah sehingga loceng tamat sesi berbunyi bila masuk tengah hari. 

Kudrat yang di pinjamkan itu telah di tarik balik oleh Yang Memberi. Disaat-saat aku punya kekuatan untuk menolak dan menarik besi-besi, nun di sana dia terpaksa mengesot sendiri ke kamar mandi, makan minum dia perlu di bangunkan dan seseorang perlu memegang atau sandarkan dia di dinding, perlu di suap, dia tidak lagi bisa makan sendiri. Sebelum-sebelum ini dia masih kenal akan wajah ini tapi hari ini, pada saat ini, dia sudah tidak kenal diriku, si manja mengada yang dia manjakan dari kecil dahulu, si bongsu yang di malam hari sewaktu tidur dengan ibu, aku bangun meminta pada ibu untuk tidur di bilik dia bersama dengannya. Tidak ternilai pengorbananmu dan terlalu panjang untuk diceritakan, biar aku simpan ia dalam hati untuk di kenang sepanjang hayat. Kini kau hanya menunggu masa untuk di jemput tuhan, dan aku sentiasa berdoa agar Dia mengampunkan segala dosa-dosamu, agar Dia menempatkanmu di kalangan orang-orang yang beriman, orang-orang yang mendapat keuntungan disisi-Nya.



Sunday, 25 December 2016

Immortal Happiness.

Kata-kata yang ikhlas pasti akan mengalir seperti air, tidak perlu waktu untuk memikirkan, tidak perlu ruang untuk menjelaskan.

Kamu tahu kamu siapa, bagaimana dan bila semuanya bermula. Kamu tahu wajah ini, kamu tahu gambar ini. Adakah saya masih orang yang sama saat awal jumpa? Atau saya sudah berubah di mata anda? Perubahan yang baik kah? Atau buruk kah? Adakah saya semakin menjauh menurut kata hati anda? Hanya anda yang tahu jawabannya. Dan saya tidak tahu apa yang bakal mendatang.

Saya seorang lelaki yang jahil, tetapi saya tidak mahu mengheret anda dalam kejahilan. Saya lelaki yang penuh dengan amarah, tetapi saya tidak mahu anda terheret bergelut, melecur dengan api kemarahan saya yang pastinya akan membuat saya juga turut terbakar hangus. Semestinya saya mahu agar semuanya baik-baik saja tetapi ia terserah juga bagaimana tindakan anda. Saya seorang lelaki yang dingin dan tidak pandai berlembut atau manis mulut, untuk sentiasa mengucapkan kata 'saya cinta' dalam setiap hari-hari anda. Tetapi saya sentiasa cuba keluar dari kedinginan itu melalui perbuatan. Saya minta maaf jika tersalah kata dan perbuatan. Tetapi anda harus waras jika saya menegaskan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Hanya perbuatan yang menjadi bukti saya lelaki yang berdiri di atas apa yang telah saya katakan. Jika semua ini tidak memberi sebarang makna yang baik buat anda, maka tidak ada apa lagi yang dapat saya katakan. Maka saya lebih baik diam, kerana anda tidak akan suka diri saya yang tidak diam, saya juga membenci diri saya yang tidak diam. Kerana saya sedar akan satu perkara, jika saya tidak bijak, yang akhirnya akan binasa adalah diri saya sendiri..

Walau apa pun, adakah anda ingat esok hari apa? Saya tidak lupa, gambar ini sudah cukup untuk menunjukkan saya tidak pernah lupa. Saya hanya lelaki miskin yang tidak mampu memberi dunia untuk anda, tetapi saya sentiasa cuba memberi diri saya sendiri untuk anda. Apakah saya cukup buat anda? Adakah susuk jasad saya bisa untuk membuat anda gembira?

Jika di dalam 'Hitam' pada 2011 dulu, semuanya gelap bagi saya tetapi kini seperti mana anda, saya juga tidak sabar dan asyik memandang ke langit, menunggu munculnya Aurora. Sebagaimana cantiknya dia bercahaya menari di langit, sudah pasti dia lebih cantik lagi bila berada dalam dakapanku.

'Fi Amanillah'... Akan sentiasa ku sebut doa itu ketika dia nyenyak dalam pelukanku. Meminta agar semuanya sempurna dan baik-baik sahaja untuk dia. Meminta agar Dia memberi pertolonganNya dengan meminjamkan kepada saya sedikit kekuatanNya agar menjadi seorang lelaki yang memiliki cukup kekuatan untuk melindungi.

Kerana itu jugalah saya pertanyakan adakah anda merasakan saya bukan lagi orang yang sama? Jika bukan, fikir sekali lagi.

Kerana ini, kerana dia, tidak mengapalah seandainya saya binasa.

Bersinarlah... bercahaya terang benderanglah wahai Aurora, dengan cahaya iman dan kasih sayangNya. Mereputlah saya menjadi debu yang hilang di bawa angin, tidak berupa di bawa arus, dan dilupakan. Itu tidak mengapa, ayah akan sentiasa di depanmu Aurora, kamu tidak akan melangkah sendirian, sentiasa akan ada ayah melawan dunia untukmu. Hancurlah saya, kamu hanya perlu meminta wahai cahaya mataku Aurora, maka hancurlah saya demi kamu. Kerana kamulah kebahagiaan yang abadi, kerana kamulah 'immortal happiness' buat ayah. Kita jumpa sedikit hari lagi..  

Sunday, 6 November 2016

Buat kekasih sejatiku.

Bila di minta untuk mengatakan sesuatu hari ini, saya termenung panjang. Fikiran saya terbuai jauh ke belakang. 

Kerana begitu panjang jika mahu saya ceritakan dalam penulisan. Namun masih saya terjemahkan ia di dalam bentuk penulisan, bukan luahan.

Kerana saya bukan lelaki yang pandai berkata-kata.

Datangnya kamu dalam sela masa kehidupan saya di mana saya bergelut untuk tidak lemas dalam airmata saya sendiri. 

Kenapa harus saya menjengah mencari-cari kunci ke gerbang pintu neraka sedangkan syurga berada di belakangku, di rumah.

Selalu kau katakan saya tidak romantis, tiada kata-kata cinta, tiada panggilan sayang. 

Selalu kau katakan malahan saya lebih meluahkan rasa cinta dan perlakuan sayang kepada haiwan peliharaan.

Melopong saya terdiam dan tidak tahu bagaimana untuk menjawab perihal itu, kerana saya tidak pernah sesekali menyangka perihal seperti itu akan menjadi isu. 

Kerana  tidak pernah saya cakna dalam perihal perbandingan kasih sayang yang dicurahkan terhadap haiwan dan manusia khususnya perempuan. 

Bisakah hal seperti itu di buat perbandingan?

Sudah saya katakan dari awal kenal, sememangnya saya seorang lelaki yang dingin, kaku, beku, yang tidak pernah tahu bagaimana untuk mengungkap kata-kata cinta dari seorang kekasih kepada kekasihnya.

Sungguh saya tidak pandai perkara itu sejak lama dulu sebelum kita bertemu. 
Saya juga tidak mengerti kenapa begitu sukar kata-kata cinta seperti itu untuk terluah dari bibirku.

Walhal kecintaanku begitu besar memenuhi ruang hati, yang hanya dapat di fahami oleh tuhan yang menciptakanku.

Tetapi berani saya katakan walaupun mulutku kaku, sepi tiada kata cinta dan rindu, rasa kecintaan dan peduli itu terlihat jelas dan terang dari perbuatanku di depanmu. 

Dapatkah kau nafikan itu? 

Ketuklah pintu hatimu dan tanyakan padanya siapa saya pada ia? 

Tetapi mungkin ada masanya saya sedikit lelah dengan kehidupan di luar sehingga saya merasa benci untuk keluar jika sesekali saya punya sedikit ruang untuk sentiasa berada di rumah.

Saya merasa kabur dengan keramaian. 

Saya merasa muak dengan jelingan orang. 

Saya merasa jengkel berpura-pura senyum dengan penuh kepalsuan. 

Saya merasa benci untuk senyum kepada orang yang saya tahu tidak senyum dan tidak endah dengan apa itu makna 'berbaik-baiklah sesama makhluk dan jangan kau sombong'.

Adakalanya ia semudah saya tidak punya wang.. 

Tetapi hari ini jika di tanya apakah pengharapan yang saya harapkan terjadi pada diri kamu? 

Yang bersahaja terlintas dalam fikiranku? 

Ia terlahir dari hati, agak tidak berani untuk saya tuliskan di sini, bimbang ia menjadi satu doa, tapi tidak! Wahai Allah, sesungguhnya saya tidak sesekali mahu terjadi seperti itu.

Tetapi kita semua tahu hakikat mati itu pasti. Jika saya yang pergi dulu, ampunkanlah segala kesalahan kata dan perbuatanku. Sampaikanlah rayuan memohon keampunan dari saya kepada semua mereka yang mengenaliku, memohon agar dimaafkan dan dihalalkan segala-galanya sepanjang kehidupanku. 

Dan jika kau yang pergi dulu, ketahuilah saya akan menjaga dan melindungi Aurora lebih dari nyawaku.

Dan jika kau yang pergi dulu, ketahuilah bahwasanya saya sentiasa redha denganmu.

Saya ini lelaki jahil buta agama, menurut pengetahuan saya, syurga dan neraka bagi seseorang isteri itu terletak pada redha suaminya. Betulkanlah andainya saya salah.

Sudah tentu saya mahu kau ke syurga wahai kekasihku, segala keburukanmu saya biarkan berlalu seperti angin yang menyapa wajahku.

Kelantangan dan amarahku hanya disitu, ia selalu berakhir di situ, tidak terpahat dihati.

Kerana saya mahu kau ke syurga. Seandainya lelaki jahil seperti saya ini layak, seandainya tuhan memberi kuasa sebesar itu kepada sang suami seperti saya..

Kuasa sebesar itu.. menentukan syurga atau neraka terhadap sang isteri. 

Maka saya redha denganmu selamanya. 

Siapapun di antara kita yang pergi terlebih dahulu menghadap Allah, ketahuilah selamanya saya redha denganmu, kerana kamu isteriku.

Kerana kamu isteriku yang akan bingkas bangun jam berapa pun aku kelaparan.

Kerana kamu isteriku yang selalu membuat minuman walaupun saya sedar adakalanya kau membenci sikapku.

Kerana kamu isteriku yang sentiasa ada dalam setiap saat kehinaanku.

Kata orang, kesetiaan sang isteri teruji saat suaminya tidak punya apa-apa. Kesetiaan sang suami teruji ketika dia memiliki segala-galanya.

Sejujurnya saya sangsi kalau ada masanya saya akan memiliki segala-galanya, walau apa pun yang ia maksudkan dalam kata-kata itu.

Sejujurnya yang saya yakin dan pasti, kau akan sentiasa teruji kerana hidup bersama lelaki miskin seperti saya.

Tidak pula bermaksud saya mahu bermalas-malasan, sudah pasti saya akan terus berusaha kerana saya percaya rezeki itu ada dimana-mana, saya adalah hamba dari Yang Maha Kaya.

Selamat menyambut ulang tahun kelahiranmu wahai kekasihku. 

Saya meminta semoga Allah memberikan yang terbaik untukmu.

Yang baik-baik saja untukmu.

Semoga kau dilindungi-Nya dari segala kejahatan dan keburukan walau apa pun rupa bentuknya.

Termasuk kejahatan dan keburukan yang datang dari diri saya.

Kerana hanya Dia sajalah yang Maha Tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Wednesday, 3 August 2016

Suara dari syurga.


   Jika ditakdirkan suatu hari nanti aku punya anak, akan aku terapkan segala kebaikan kepadanya sepertimana yang dia perlihatkan dan yang dia terapkan kepadaku. Semoga aku memiliki kekuatannya, ketabahannya, dan kesabarannya. Dan aku sangat berharap agar tuhan tidak akan membiarkan aku tersasar dari landasan keazaman yang seperti ini.

Sangat sukar untuk melihat dia mengalirkan air mata, boleh saja dikira dengan jari dan itu petanda yang baik menurut kata hatiku, petanda kami bukanlah tergolong dalam golongan orang yang derhaka. 

Tapi siapa sangka tanggapan itu salah sama sekali bilamana pada suatu malam aku terbangun dari tidurku dan terdengar seperti orang menangis. 

Yang pada kali pertamanya aku fikir dia selsema. Sehinggalah sampai kepada suatu hari aku terbangun dari tidur ditengah malam dan terdengar bunyi yang sama. 

Adakalanya aku tahu dia menangis kerana adik-beradik yang lain, adakalanya aku tahu akulah puncanya.

Ada hari-harinya di mana aku tidak dapat pulang kerana terlalu sibuk dengan kehidupanku, tapi aku tidak pernah terlepas untuk menelefon dia. 

Orang mau bilang aku manja ya terserah, yang pasti aku memang selalu merindukannya. 

Kalau menelefon, tidak ada apa-apa perihal yang penting pun untuk aku katakan, hanya cakap-cakap kosong. 

Halnya ialah aku tidak dapat duduk senang kalau sehari tak mendengar suara dia. Mau bilang rindu aku malu, padahal tidak ada halangan apa pun untuk aku mengatakan yang aku rindu. 

Mungkin kerana hati yang terlalu dingin membuat aku merasa janggal dengan perkataan itu. 

Sungguh, aku kekok, atau tidak biasa, atau tidak berani untuk menyebut perkataan sayang, cinta, rindu pada makhluk yang bernama perempuan. 

Aku harap dia tahu setiap kali aku menelefon itu tandanya aku rindu. 

Terlalu sulit dan ngeri untuk aku membayangkan bagaimana suatu hari nanti jika aku tidak lagi dapat mendengar suaranya, suara dari syurga.  Dialah malaikat yang tidak bersayap, yang sentiasa berada disisiku dalam apa keadaan pun, di saat aku berada di tempat yang paling gelap, paling sempit, yang  terbawah.. 

Sunday, 31 July 2016

Syurga untuk manusia sepertiku.


"Panas ni, kenapa tak pakai payung? Syurgalah selayaknya untuk anak soleh seperti engkau Farid".

Kata Syukri yang menghampiri dari belakang dan memegang bahu sahabatnya Farid, yang baru selesai berdoa di pusara ibunya yang tercinta. Petang tu panas agak lain macam, dengan tak ada angin, rasa berdenyut kepala. 

Farid tersenyum, tapi matanya jelas berkaca. Tanpa di tanya, Farid buka cerita..

"Kau tahu tak Syukri.. Sakit demamku, Mama tolong jaga. Sehari suntuk dia jaga aku, tolong letak kain basah kat kepala, tolong picit, urut, tolong masak itu ini, beli itu ini bagi aku makan. Sewaktu umurku sepuluh tahun aku masuk wad, masalah buah pinggang. Habis satu badan doktor tampal wayar-wayar, sekali tengok aku ni dah macam sakit nak mati. 

Apa yang kelakar, satu hari tu Tokwan (dah arwah) datang dari Penang menziarahiku. Aku masih kecil lagi, katil pun dipasang kandang besi, masa dia menghampiri katil, dia sudah ada dalam penglihatanku, daripada pembaringan aku bangun berdiri atas katil pegang kandang besi dan senyum pada dia. Tokwan buat muka terkejut, muka pelik. 

"Kata tak boleh bangun, tak boleh bercakap, ni elok ja ni??" Soal Tokwan pada Mama.

"Hmmmmm???" Aku pula yang buat muka pelik. 

Rupa-rupanya dah miscommunication. Aku tak ingat siapa, sama ada Mak Njang atau Maksu yang datang melawat sewaktu aku sedang tidur dengan wayar berselirat satu badan, kebetulan salah seorang  daripada mereka datang melawat. Maksu kalau tak silap aku. Dah dilihatnya aku macam itu, dia boleh call Tokwan, bagi berita gempar cakap aku tak boleh bercakap, tak boleh bangun. 

Ohhh.. patut la Tokwan buat muka terkejut.. 

Ada satu malam tu Mama nak keluar pegi pekan, nak beli apa-apa makanan sebab aku tak nak makan makanan hospital, tak sedap. Aku nak nasi ayam dengan patung Ultraman Ace. Mama pun keluar la pegi beli.. Dapat la aku nasi ayam dengan Ultraman Ace malam tu. Itu kat hospital, sakit. Dah keluar pun perangai macam orang sakit juga. Masa darjah enam dulu, hadiah birthday aku nak patung Robocop. Mama dengan arwah bapak nak bagi sejadah tapi aku berkeras nak juga Robocop. Tekan butang belakang kepala, mata Robocop tu menyala dan dia cakap :

"freeze! you are under arrest!" Lepas tu ada bunyi tembak "tatatatatatatat!"

Sudahnya, aku dapat Robocop tu. Bongsu konon.

Apa lagi yang aku nak? Apa yang aku nak yang Mama tak buat? Aku beli keropok ada muka Gaban, aku suruh Mama lukis Gaban tu, Mama lukis. Nak basikal? Dapat. Pagi petang siang malam nak makan Nestum? Mama buat. Lepas habis isap sebotol susu nak lagi, Mama buat. Kalau tak buat, aku tunjuk perasaan. Pegi duduk kat bucu dinding, masuk bilik duduk kat belakang pintu buat muka sedih macam esok dah nak mati. 

Nampak comel bukan? Memang comel sebab kecik lagi, orang tak panggil jahat, orang panggil nakal atau buas. 

Tunggu besar sikit..

Satu tengahari tu aku balik dari sekolah Long pesan -

"Mama pesan jangan bawak motor hari ni"

Aku tak faham.. pesanan jenis apakah itu? Aku naik jugak, bawak member pusing Lake Garden. Sekali kena tahan dengan polis trafik, motor kena sita pasal tak ada lesen. 

Siapa bayar bawa keluar motor? Mama bayar.

Terpatahkan nombor plat kereta, siapa bayar? Mama bayar.

Duduk dalam kereta Datsun Mama, main pusing-pusing stereng, gatai pulak tangan pi turun handbrake, kereta berjalan masuk longkang, siapa bayar kos repair? Mama bayar.

Apakah salah satu daripada tanda-tanda akhir zaman? Bila ibu melahirkan tuannya.

Mama selalu, Mama always masak untuk aku. Dia takkan sentuh makanan yang dia sendiri masak selagi aku belum makan dulu. Kadang-kadang malam baru dia makan. Apa yang dia makan? Nasik sejuk, kicap dan lebihan kuah lauk-lauk yang dia masak siang tadi yang dah tinggal kuah, isi lauknya aku dah habiskan. Dah kenyang, bersandar kat sofa tengok tv, dah tak peduli bila dengar suara azan. 

Mama selalu, Mama always buat air untuk aku.

Mama, nak milo, nak teh, nak oren, nak soya, nak semua..

Mama buat.

Bila Mama -

Farid tolong buat teh, tolong ambik sat kain kat luar tu nampak macam nak hujan, tolong picit sat kaki, tolong pegi kedai sat, tolong beli roti, tolong picit sat kepala, tolong picit sat belakang"

Aku? Buat bodoh tengok tv tak cakap apa, kadang-kadang buat tapi sambil buat muka tak puas hati, kadang-kadang sound terus cakap malas, tak larat, letih, kenapa always aku yang kena buat? Kenapa itu? Kenapa ini?

Sudahnya? Mama bancuh sendiri teh setiap pagi, makan ubat sakit jantung, kutip baju, basuh baju, masak nasik, jaga cucu, cuci meja, cuci lantai, cangkul rumput, bagi kucing makan, cuci taik kucing, urut kaki sendiri, urut lutut sendiri, urut belakang, urut bahu sendiri.

Aku? Bangun pagi pegi kerja, balik kerja, tengok tv, tidur. 

Aku? Beli iPhone, beli iPad, beli iPod, beli kasut Timberland, kasut Nike, baju AX, tali pinggang AX, beli helmet, beli jam, beli jaket, pegi bercuti, makan sedap-sedap, beli kereta beli motor dua tiga biji.

Mama? Haram habuk pun tak ada, hari ke hari membawa ke tahun, dia pakai dua helai baju kurung itulah ulang-ulang. Makan nasik sejuk, biskut kering, roti, mi segera. 

Aku? Sedap tidur dalam bilik, atas katil, sedap. 

Mama? Hampar tilam kat lantai, tidur kat ruang tamu. Kadang-kadang sampai ke Subuh terlena atas sejadah. Kalau ada ular masuk? Lipan? Penyamun? Kau rasa siapa yang nak kena dulu?

Sekarang kau katakanlah padaku Syukri, apakah masih layak syurga untuk manusia sepertiku?"

Allahuakhbar, Allahuakhbar..

Dah azan.. Dah masuk waktu solat Asar. Serentak hujan pun turun.. Dengan panas terik, angin tak ada tahu-tahu hujan.. 

"Jom Farid, ambik wudhuk, dah masuk waktu ni. Kedengaran seperti ibumu seorang yang sangat mulia orangnya, dengan izin Allah, percayalah, ibumu sudah lama memaafkan segala kesalahanmu Farid. Sekarang marilah kita, sujud dan mohonlah keampunan daripada Allah.."

Ajakan dan jawaban Syukri pada pertanyaan Farid sebentar tadi.. 


Suara yang tidak di dengari.

     Seperti gelas yang penuh, sampai suatu saat di dalam kehidupannya, dia merasa cukup sudah mencari kebahagiaan untuk dirinya sendiri, lalu dia berhenti mencari.

Berhenti di puncak yang terlihat sebuah persimpangan yang harus dia lalui saat turun ke bawah nanti. 

Saujana mata memandang, terbentang luas bumi tuhan yang terhampar di bawah. Kedua-dua hala nampak sama, terlihat pohon-pohon rendang dan sungai yang mengalir tenang, jauh lebih sedikit ke hadapan terlihat pula awan yang menurunkan hujan, ada pelangi di satu sudut. Di garis horizon jelas terlihat langit yang gelap dan petir, barangkali hujan lebat di sana.. 

Persimpangan di mana kedua-duanya menghala ke destinasi yang dia sendiri tidak pasti akan membawa dirinya ke penghujung yang bagaimana, selayaknya hakikat kehidupan.

Dia memandang kedua-dua hala dengan rasa gerun. 

Gerun kerana tiada apa yang pasti. 

Gerun kerana masih tidak tahu atas tujuan apakah Sang Pencipta menghantar dia ke mari.

Sehingga pada suatu saat, dalam sujudnya datang nekad. 

Maka benarlah kata-kata sang pujangga, yang terilham pula pastinya dari sang Pencipta.

Maka dia keluar dari keselesaannya, mencabar diri berdepan dengan realiti yang dingin.

Lantas lama-kelamaan dia semakin sedar dia tidak di ciptakan untuk menggenggam kebahagiaan.

Realiti kehidupan selalu menafikan. 

Terdetik dalam hati kecil, mungkinkah atas kehendak-Nya, dia di sini untuk mencurahkan cinta dan kasih sayang kepada yang lainnya.

Mungkinkah dia harus melepaskan mimpi, melupakan segala, sebuah kehadiran yang bukan untuk mencari tapi memberi kebahagiaan.

Dia mula menerima akan hakikat itu. 

Dan dia 'terima' seikhlas mungkin.

Dan datang cabaran dan persoalan baru..

Dia dengan rasa cintanya,

Dia dengan kecacatannya,

Dia dengan kelemahannya, 

Dia dengan amarahnya, 

Dia dengan nafsunya, 

Dia dengan kedinginannya, 

Dia dengan kehinaannya, 

Dia dengan bebalnya, 

Dia dengan segala kejahilannya,

Dia yang serba-serbi tidak tahu,

Dia dengan pergorbanannya.

Maka layakkah ini di anggap sebagai sebuah kehadiran yang bukan untuk mencari tapi memberi kebahagiaan? 

Layakkah pula ini di panggil sebagai sebuah pengorbanan?

Siapa pula yang akan merasa bersyukur dengan kehadiran sebuah jasad yang tiada tempat di dalam realiti kehidupan? 

Layakkah dia untuk memberi kata-kata nasihat? 

Layakkah dia untuk mempunyai perasaan marah dan menyuarakannya?

Cukup berkuasakah dia untuk menyatakan pendiriannya lantas di turuti orang?

Siapa pula yang mendapat ketenangan dari suara seseorang yang suaranya tidak di dengari?


Friday, 1 April 2016

Saat ku musnah.

Hidupku, setiap arah setiap jalan, aku yang kemudi menentukan. 

Tidak pula bermaksud aku bisa melangkah sendirian. 

Yang aku perlukan adalah panduan, bukan arahan. 

Berdiamlah bila suara aku tinggikan, percayalah semuanya untuk kebaikan. 

Akurlah bila aku arahkan, akurlah tanpa soalan demi soalan, pertanyaan dan meminta penjelasan, bukan aku berniat mahu berlagak tuan, cuma kerana kadangkala kau tetap tidak akan faham walaupun sudah aku jelaskan, kerana kadangkala kau tidak melihat apa yang telah aku lihat, kau tidak mengalami apa yang telah aku alami, kau tidak mendengar apa yang telah aku dengar. 

Kalau pun kau melihat, mengalami dan mendengar, kau masih memilih jalan yang salah, jalan yang tiada penyelesaian lantas menuju kehancuran.

Mungkin suatu hari nanti kau akan membenciku, aku sudah lama bersedia untuk itu. 

Di saat itu mereka yang tidak perlu tahu, habis tahu semua tentangku. 

Tapi apa-apalah, aku sudah lali dengan perkara basi seperti itu. Kau juga tahu, sewaktu kau bersamaku, di waktu-waktu kaulah yang paling dekat denganku, malah lebih dekat di sisi berbanding dekatnya aku dengan sahabat-sahabatku. 

Saat timbul cerita karut-marut yang langsung tidak menggambarkan diriku, kau sudah melihat sendiri dengan mata kepalamu siapa yang berdiri dalam dunia yang sebenar dan siapa yang bermain opera bukan? 

Cerita menarik dari mulut orang-orangan yang tidak mengenal diriku, tanya hatimu pasti kau sendiri tahu siapa aku dan siapa mereka sebenarnya tanpa perlu aku menjelaskan apa-apa. 

Ada sahabatku yang seperti tidak percaya bagaimana kata-kata kesat maki hamun seperti itu bisa keluar dari mulutku? 

Aku ialah orang yang tidak tahu marah menurut pandangannya. 

Mungkin benar, mungkin tidak, aku tidak tahu. 

Dan aku mahu kau tahu, aku adalah seorang lelaki yang mudah dalam mencari cinta.

Aku tidak meminta apa-apa dari cinta selain cintanya semata-mata.

Cinta datang seiring dengan kemewahan? Alhamdulillah.

Cinta yang datang dengan hanya membawa kecintaan semata-mata bersama dirinya, alhamdulillah. Aku tidak peduli. 

Adakah kamu juga hanya meminta cinta dariku?

Adakah kamu masih akan mencintaiku esok pagi?

Saat kau bangun dan menyedari hakikat bahawasanya aku hanya seorang lelaki miskin yang tak punya apa-apa untuk aku berikan padamu selain cinta?

Adakah kamu masih di sisi di saat aku berada dalam keadaan yang paling hina?

Masihkah kau di sisi ku di saat aku seluk saku untuk membeli makanan untuk kita tapi poketku kosong?

Adakah kamu akan turut menangis di saat kamu melihat airmata di pipi ku?

Pernahkah kau pertimbangkan suara dari teman-teman mu yang mengatakan kau layak memiliki orang yang lebih baik dari aku? "You deserve better" kata mereka. 

Siapa pula mereka yang merasa berhak berkata seperti itu? Adakah mereka golongan yang di jamin syurga? Jika iya, kau harus dengar kata-kata mereka.

Kadangkala aku merasa takut melihat manusia-manusia yang meletakkan kedudukan, berapa banyak wang dalam akaun untuk menjustifikasikan "okay lelaki ini, lelaki itu, dia ini, dia itu sesuai untukmu kerana dia stabil, hidupmu, kebahagiaanmu pasti terjamin jika kau bersamanya". 

Aku tidak akan sesekali menafikan wang sangat penting dalam dunia zaman sekarang, dalam lingkungan korupsi seperti sekarang, namun aku punya pendirian berbeza tentang ini, yang aku rasa kalian juga tidak berminat untuk tahu jadi aku simpan untuk diri sendiri saja.

Adakah kamu sedar akan hakikat kamu memilih untuk bersama seorang hamba Allah yang tidak meminta apa-apa selain cinta? Juga tidak memiliki apa-apa dari isi dunia dan kesenangannya?

Dan kau harus sedar akan satu perkara, aku sangat membenci, kerana aku tidak pernah faham dengan manusia yang pandai berkata-kata untuk menyenangkan hati orang lain walhal hatinya tidak bermaksud seperti apa yang dia katakan. 

Kita tidak akan pernah bisa memaksa seseorang untuk menurut kehendak dan kemahuan kita, tapi jangan sesekali kita bercakap dan melakukan sesuatu untuk seseorang sedangkan bukan itu yang kita inginkan.

Jangan kau sesekali berani untuk cuba menyukai seseorang yang dari awal lagi kau sedar bahawa kaulah satu-satunya orang yang dia ingin berada di sisi dia. 

Janganlah melayan dia lebih mesra dari yang sepatutnya dan kemudian dengan mudah kau berkata 

"oh maaf saya tidak merasa perasaan yang anda rasa terhadap saya", 

"oh maaf anda harus sedar cinta tidak boleh di paksa". 

Jangan sesekali kau berani berbuat sedemikian kerana itu adalah perbuatan orang yang tamak dan hanya mementingkan kesenangan dan kebahagiaan diri sendiri sahaja. 

Jangan kau pernah berani mengirimkan pesanan ringkas "saya ke tempat ini dan makan makanan ini dan saya teringatkan kamu" pada seseorang yang kau tahu punya rasa terhadapmu walhal kamu tidak punya rasa yang sama pun pada dia.

Jangan kau pernah berani menyuntik semangat palsu dalam hati seseorang yang kau tidak cinta.

Jangan sesekali kau tanamkan semangat palsu dalam jiwa seseorang yang kau tidak pernah punya rasa.

Tidakkah itu kejam?

Tidakkah itu angkuh?

Tidakkah itu buta?

Jika bukan, jadi apa?

Percayalah kita tidak akan sedar akan kesan yang telah kita tinggalkan pada hati seseorang, berapa dalam kita telah lukakan hati seseorang. Maka jauhilah kau daripada menjadi perempuan yang seperti itu kerana aku sangat membenci perempuan seperti itu. 

Dan pagi ini aku katakan "aku terima" lalu memutuskan untuk berdiri di sisi kamu seumur hidupku, jika diizinkan Allah. Ini jalan yang aku pilih.. ini jalan yang aku "langgar".. kenapa? Kerana aku dapat merasakan kau berbeza dari perempuan-perempuan tamak yang lainnya yang pernah aku kenal. Kerana kali ini aku merasa, dalam banyak-banyak kesalahan dan kesilapan membuat keputusan yang pernah aku lakukan seumur hidupku, kau terkecuali. Aku tidak merasa telah membuat kesilapan kerana memilih kamu untuk hidup di sampingku.

Adakah kamu masih akan mencintaiku esok pagi?


Friday, 4 December 2015

Kisah Klasik Untuk Masa Depan. (Bola)



Zaman hingus, tuan bola nangeh kena rembat bola tang muka, majuk amik bola bawak balik, selebihnya yang tinggai atas padang? Nganga.. 

Zaman dah skolah menengah, main bola jenis tak tau rules, hujan bapak lebat siap guruh pun buat tak reti main jugak.. Gila. Orang pakai but kita kaki ayam redah padang penuh duri, bola tanduk pun flying kick amik dengan kaki, padah minat Van Damme, banyak baca Pedang Setiawan, Dendam Kesumat, Mutiara Naga. Bola 50-50 kaki ayam vs but kulit pun amik jugak, tak peduli pun risiko patah kaki. 2 jam atas padang pun tak pancit, gila punya fit. Main dgn abang-abang senior taman. Ada yang cool luar dan dalam padang. Majoritinya yang senior cool lah, ada sorang ja yang cool luar padang tapi dalam padang asyik nak taji kaki orang, budak-budak ja pun.. main pun kaki ayam nak beli but kain pun takdak duit. Tapi jenis itu yang kita lagi masuk rebut bola dari dia. Mula-mula kita jauhi dia bila tengok cara dia main, lagi pun dia senior, elakkanlah tak perlu bersaing dengan dia. Ada hari kita jadi geng lawan, kena hati-hati dan tak rebut bila dia dapat bola. Ada hari kita satu team dengan dia, tak perlu risau apa-apa. Sampai masa jadi team lawan balik, kena hati-hati lagi. Dia taji kita macam dia baru kenai kita masa masuk padang tadi. Tak boleh jadi..

Dia memang tak bagi peluang, bila tak dapat bola atau kita dapat rampas bola dari dia, dia taji kaki dari belakang, pijak kaki, kalau main professional dah lama kena kad dah. Terang-terang dia cari kaki, bukan cari bola. Kau dan aku, kita.. Jatuh bangun lagi, tetap masuk bersaing side by side dengan dia. Bukan nak cari gaduh atau tunjuk samseng, tapi nak bagitau dia walaupun sakit, kita tak takut dengan cara keras dan but mahai Adidas limited edition rare dia yang keras tu. Ya, azan Maghrib adalah wisel penamat.. 

Apa-apa pun semua dalam padang saja, jumpa kat luar masih angkat tangan dan tegur panggil dia abang. Dia pun tak penah simpan dalam hati dan bawak ke luar. Apa yang penting kat sini ialah kita masih tau cara hormat orang. Lejen.. 

*kisah klasik untuk masa depan by SO7.

Tuesday, 1 December 2015

Esok pagi.


Disember.. Bulan kelahiranku, juga bulan di mana kau pergi tinggalkan aku selama-lamanya. Dan sekali lagi menjadi bulan yang penting untuk ku..

Kad baru siap, maafkan aku di atas segala kelemahan dan kelewatan. Kehadiran keluarga dan sahabat memberi makna yang sangat besar buatku. Dan.. di saat aku melihat kad jemputan tiada namamu, berkaca-kaca mata, aku cuba untuk tidak menangis kerana ada orang di sekitar, tapi aku tidak berjaya. Apa yang dapat aku lakukan hanyalah tunduk menangis agar tiada sesiapapun yang sedar aku sedang menangis. 

Ayah, betapa aku ingin kau ada dalam hidupku saat aku meningkat dewasa, mungkin aku tidak menjadi seorang lelaki yang serba tidak tahu, tidak sensitif, lelaki pendosa yang sangat dingin dan penuh dengan amarah, jika kau ada untuk memarahiku. 

Ayah, betapa aku ingin kau berada disisiku esok pagi, betapa hati ini sakit kerana terlalu merindukanmu. 

Kali terakhir kita bertemu, dalam mimpi lebih kurang sembilan tahun yang lalu. Kau pulang ke rumah dan bergelak ketawa bersama keluargamu, sampailah pada satu saat tawamu terhenti dan kau katakan sudah sampai masanya untuk kau pulang. Kita sekeluarga sedih tapi tidak menangis. Disaat kau sudah berdiri di luar pintu, aku memelukmu erat, aku katakan aku merindukanmu dan meminta maaf kerana tidak berada disisimu saat kau pergi. Kau hanya tersenyum sambil mengusap kepalaku lalu kau kembali pulang kepada tuhan. Tiada apa yang aku harapkan, semoga mimpi itu menjadi satu petanda bahawa kau bahagia dan bersenang-senang di sana..

Wahai tuhan, selimutilah ayahku dengan selimut cintaMu, betapa sesalnya aku yang tiada disisinya saat Kau menjemput dia untuk menghadapMu, sampaikanlah pada ayahku betapa aku cinta dan rindu.

Wahai tuhan, dengarlah doa seorang anak penderhaka ini, tempatkanlah ayah dan ibuku bersama dengan RasulMu dan para sahabatnya.

Kini yang ada padaku hanyalah jam ayah yang sudah lama terhenti waktu, bersama kotak lagu usang dan sedikit rosak tapi masih bisa bernyanyi untuk ku. Ayah, aku tenggelam dalam kerinduanku padamu, tenggelam bersama alunan muzik dari kotak lagu usangmu.

Betapa aku ingin kau ada bersamaku esok pagi.. - The Antagonist.

Wednesday, 12 November 2014

Final Fantasy.

Jangan merasa sedih tidak di hargai isi dunia yang sombong dan buta, jangan bermuram durja seandainya segala yang anda lakukan dengan ikhlas dilupakan orang-orangan, walau kecewa tersisih, dipinggirkan, tetapkanlah hati bahwasanya anda lakukan itu semua seikhlas hati tanpa mengharap ucapan terima kasih atau dihargai, ikhlaskanlah semuanya. Tanpa sedar.. tanpa pernah anda sedari, ada yang sembuh sakit hanya dengan melihat senyuman di wajah anda, ada yang pulih kembali semangat hanya dengan menerima pesanan ringkas 'hai selamat pagi' yang anda kirimkan. Ada yang merasa tekanan hidup itu bukanlah apa-apa, terhapus dengan sendirinya saat mereka berbaring di pangkuan anda, asalkan anda berada di sisi mereka. Tanpa anda sedar, hidup mereka berubah menjadi penuh warna bila anda membelai rambut mereka dan berkata 'jangan bimbang, semuanya akan baik-baik saja', di saat anda sendiri merasa hidup anda menjadi hitam putih hilang makna. Sedarlah kehidupan anda bukanlah tentang anda semata-mata, tapi juga tentang mereka yang menadah tangan menangis dan bersyukur kepada Sang Pencipta, hanya kerana Dia telah menghantar anda masuk ke dalam kehidupan mereka lantas memberi harapan dan sinar baru pada masa yang sama anda sendiri bingung dan terpinga-pinga, tertanya-tanya pada diri sendiri "apa yang terjadi dengan dia? apa yang sudah aku lakukan? sungguh demi Allah aku tidak berbuat apa-apa. Apa yang pasti, kesunyian sang Adam mempertemukan kita hari ini..


Wednesday, 28 May 2014

Seperti seharusnya.

                                            

Ada suatu perkara yang tidak akan pernah aku ungkapkan. Biar hanyut dan dilupakan seperti daun yang gugur dari pohon dan jatuh di permukaan sungai lalu dipujuk arus yang membawanya pergi. Biar terabai dan tidak jelas seperti dua orang yang cuba saling berbicara di bawah atap zink yang bingit di hentam titisan hujan lebat. Akan aku pulaukan sarat rasa perih itu selamanya di dasar hati yang paling dalam tiada hidupan dan gelap tanpa sebarang cahaya. Kerana kesabaranku tinggi menggunung tak terhakis oleh deras badai lautan amarahku, kerana kuatnya perasaan sayangku dan kecintaanku yang tidak berbentuk seperti roh yang keluar dari jasad, seperti angin yang dapat di rasa kehadirannya tapi tak pernah terlihat dengan mata kasar, jauh mengatasi dan menutupi busuknya nafas kebencianku dan kekecewaanku.

Biar aku dan tuhanku saja yang tahu apa yang tersirat. Kerana aku sedar tiada jirim yang akan ikhlas mencerna laraku melainkan ia pulang bergema dalam kekosongan ruang hati, pulang menyapa telingaku sendiri lantas menjemput kehampaan. Kerana aku sedar hati ini yang fakir miskin, yang lusuh dan berbau tidak enak pakaiannya, hina dan papa, yang kelaparan dan dahaga yang cuba menadah tangan-tangan kotornya mengharapkan secebis rasa dari sebuah kebijaksanaan lalu kebijaksanaan itu mengusir ia dengan penuh kelembutan tapi cukup menghinakan. Kebijaksanaan yang sudah banyak merantau diluar sana dan merasakan ia sudah mengenal dunia dan sudah arif mengenal hati-hati yang lainnya lalu ia menghalau tanpa mahu memandangpun mata, tidak mahu mendengarpun suara si hati yang fakir dengan kata-kata yang cukup "indah" untuk dicerna ; wahai hati, kau sama sahaja dengan mereka yang pernah ku kenal diluar sana. Kerana kepalsuan dan hati yang buta, biarkan tongkat kepalsuan yang mahal itu berjalan terus tanpa perlu meraba-raba mencari kehampaan yang tercicir. Seandainya ia celik belaka dan walhal ia tahu tapi seakan-akan tidak tahu, biarkan kepalsuan itu melangkah pergi tanpa perlu untuk mempertanyakan apa-apa. Kerana tidak ada apa-apa untuk dipertanyakan. Tidak ada kebenaran yang perlu ditegakkan, tidak ada kesalahan untuk diadili dan dijatuhkan hukuman laksana mahu membalas bunuh si gila yang membunuh. 

Sekiranya ditanya tentang sombong dan angkuh, aku masih yakin akan sentiasa ada jalan untuk melembutkannya. Kerana kesombongan dan keangkuhan adalah seperti besi, segah manapun ia laksana armada perang dilautan ia tetap dapat dirapuhkan dan dipatahkan malah diremukkan. Siapa sangka air yang penuh kelembutan punya kekuatan seperti itu? Tapi aku tidak punya jawapan untuk sebuah kepalsuan dan ketidakjujuran. Yang terbaik bagiku ialah diam, diam dan diam. Kata-kata sang pujangga, pengalaman adalah guru yang terbaik, benar dan bagiku ibuku juga adalah guruku yang terbaik, ibu tidak pernah mengajar untuk membenci, kerana kebencian adalah satu perkara yang sia-sia. Di dalam agama juga ada memberi ruang untuk mereka yang melakukan kesalahan lantas mereka meminta maaf tapi tidak dimaafkan. Dan dipenghujung hari tetaplah aku berdiri disini sebagai seorang hamba, manusia kerdil yang sudah pastinya tidak akan pernah sempurna. Manusia yang tidak ada jawapan untuk banyak perkara. Sememangnya aku seorang manusia yang mudah memberi kemaafan kerana aku juga berharap tuhan mengampunkan aku yang banyak berbuat dosa. 

Padahal ini bukanlah tentang kemaafan. Ini adalah tentang ; jika seribu maaf yang diucapkan, seribu kemaafan jugalah yang akan ia perolehi seperti yang diharapkan, tidak akan kurang malah mungkin lebih. Sampai akhir nafas pun akan sentiasa ada kemaafan. 

Berbicara tentang 'harap', bagiku kepalsuan tidak pernah berharap, kata harap itu hanyalah sekadar dibibir, tidak dihati. Ini adalah tentang seribu benang kemaafan yang tetap tidak akan dapat menjahit luka kehampaan yang terhiris dari sebuah kepalsuan. Sebuah kepalsuan yang ditenun dengan benang yang disalut serbuk kaca halus. Ini adalah tentang setiap nafas yang terhembus, setiap langkah yang dibawa walau kemanapun kepalsuan ini pergi, berapa ramai pun orang yang ditemui sepanjang perjalanan kepalsuan ini, ingatlah dan jangan sesekali lupa wajah seorang makhluk bernyawa yang serba kekurangan dan penuh kecacatan namun punya hati dan perasaan, yang telah dihancurkan oleh sebuah kepalsuan. Sebesar mana kesan kehancuran yang diakibatkan? Aku fikir ianya boleh dipersoalkan malah diperlekehkan, mudah saja dan tidaklah penting bagi sebuah kepalsuan.





                                   


Tuesday, 27 May 2014

KATA-KATA KHALIL GIBRAN.



CINTA YANG AGUNG.

"Adalah ketika kamu menitiskan air mata dan masih peduli terhadapnya..

Adalah ketika dia tidak mempedulikanmu dan kamu masih menunggunya dengan setia..

Adalah ketika dia mulai mencintai orang lain dan kamu masih bisa tersenyum berkata

‘Aku turut berbahagia untukmu’

Bebaskan dirimu.. Biarkan hatimu kembali melebarkan sayapnya dan terbang ke alam bebas lagi. Ingatlah.. bahwa kamu mungkin menemukan cinta dan kehilangannya.. tapi ketika cinta itu mati, kamu tidak perlu mati bersamanya.. Orang terkuat bukan mereka yang selalu menang, melainkan mereka yang tetap tegar ketika mereka jatuh.

Jangan menangis kekasihku.. Janganlah menangis dan berbahagialah, karena kita diikat bersama dalam cinta. Hanya dengan cinta yang indah kita dapat bertahan terhadap derita kemiskinan, pahitnya kesedihan, dan duka perpisahan"

"Aku ingin mencintaimu dengan sederhana, seperti kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya abu. Aku ingin mencintaimu dengan sederhana, seperti isyarat yang tak sempat dikirimkan awan kepada hujan yang menjadikannya tiada.. Pabila cinta memanggilmu, ikutilah dia walau jalannya berliku-liku. Dan, pabila sayapnya merangkummu, pasrahlah serta menyerah, walau pedang tersembunyi di sela sayap itu melukaimu"

"Mungkin aku terlalu bodoh untuk mengerti, mungkin aku tak sengaja juga menyakiti, andai aku tau isi hatimu, andai kesempatan itu datang lagi padaku, sekarang mustahil bagiku. Bahkan menyentuh bayangmu aku tak mampu. Sekarang aku terpuruk dalam jurang sesalku dan cinta ini jadi sesak dalam dadaku, aku tahu cinta ini sudah tak laku tapi biarkan cinta ini aku miliki, biarkan cinta ini menjadi bebanku aku tak peduli, meski menghambat jalanku, aku tahu mencintaimu adalah tak pasti"

"Sepenggal catatan dalam ingatan sorot itu meredup, ada kristal terpiaskan tertunduk, dukanya tak terukur, memahami sedih di hatinya namun yang ada hanya rindu. Aku merindukanmu ketika aku tahu kau telah jauh berlalu, aku mencari bayanganmu ketika malam tak lagi menampakkan wajahmu, aku memanggil namamu diantara gelapnya hutan"

"Cinta adalah seekor burung jelita, yang berharap untuk ditangkap, namun menolak untuk disakiti"

"Cinta tampak sebagai pilar-pilar menara cahaya ketika kegelapan melingkupi segala sesuatu"

"Ketika cinta mulai luntur ia mencari-cari alasan"

"Cinta tidak menyadari kedalamannya sampai saat perpisahan"

"Kenapa kita menutup mata ketika kita tidur? Ketika kita menangis? Ketika kita membayangkan? Ini karena hal terindah di dunia TIDAK TERLIHAT. Ada hal-hal yang tidak ingin kita lepaskan.. Ada orang-orang yang tidak ingin kita tinggalkan.

Tapi ingatlah…
melepaskan BUKAN akhir dari dunia, melainkan awal suatu kehidupan baru.. Kebahagiaan ada untuk mereka yang menangis, mereka yang tersakiti, mereka yang telah mencari, dan mereka yang telah mencoba..

Karena MEREKALAH yang bisa menghargai betapa pentingnya orang yang telah menyentuh kehidupan mereka"

"Berpasangan engkau telah diciptakan. Dan selamanya engkau akan berpasangan. Bergandingan tanganlah dikau hingga sayap-sayap panjang nan lebar lebur dalam nyala. Berpasangan engkau dalam mengurai kebersamaan, kerana tidak ada yang benar-benar mampu hidup bersendirian. Bahkan keindahan syurga tak mampu menghapus kesepian Adam. Berpasangan engkau dalam menghimpun rahmat tuhan, bahkan bersama pula dalam menikmatinya. Kerana alam dan kurniaan tuhan terlampau luas untuk dinikmati sendirian. Bersamalah engkau dalam setiap keadaan, kerana kebahagiaan tersedia bagi mereka yang menangis, bagi mereka yang disakiti hatinya, bagi mereka yang mencari, bagi mereka yang mencoba. Dan bagi mereka yang mampu memahami arti hidup bersama. Kerana mereka itulah yang menghargai pentingnya orang-orang yang pernah hadir dalam kehidupan mereka. Bersamalah dikau sampai sayap-sayap sang maut meliputimu. Ya, bahkan bersama pula kalian dalam musim sunyi. Namun biarkan ada ruang antara kebersamaan itu. Tempat angin syurga menari-nari diantara bahtera sakinahmu. Berkasih-kasihlah, namun jangan membelenggu cinta. Menyanyilah dan menarilah bersama dalam suka dan duka. Hanya biarkan masing-masing menghayati waktu sendirinya. Kerana dawai-dawai biola, masing-masing punya kehidupan sendiri. Walau lagu yang sama sedang menggetarkannya, sebab itulah simfoni kehidupan"

"Apabila kamu melihat seorang laki-laki mabuk katakanlah dalam hatimu, “Barangkali dia mencoba lari dari sesuatu yang lebih buruk lagi.”

"Suara kehidupanku memang tak akan mampu menjangkau telinga kehidupanmu; tapi marilah kita cuba saling bicara barangkali kita dapat mengusir kesepian dan tidak merasa jemu"

"Pandangan pertama.. 

Itulah saat yang memisahkan aroma kehidupan dari kesadarannya. Itulah percikan api pertama yang menyalakan wilayah-wilayah jiwa. Itulah nada magis pertama yang dipetik dari dawai-dawai perak hati manusia. Itulah saat sekilas yang menyampaikan pada telinga jiwa tentang risalah hari-hari yang telah berlalu dan mengungkapkan karya kesadaran yang dilakukan malam, menjadikan mata jernih melihat kenikmatan di dunia dan menjadikan misteri-misteri keabadian di dunia ini hadir. Itulah benih yang ditaburan oleh Ishtar, dewi cinta, dari suatu tempat yang tinggi. Mata mereka menaburkan benih di dalam ladang hati, perasaan memeliharanya, dan jiwa membawanya kepada buah-buahan. Pandangan pertama kekasih adalah seperti roh yang bergerak di permukaan air mengalir menuju syurga dan bumi. Pandangan pertama dari sahabat kehidupan menggambarkan kata-kata Tuhan, "Jadilah, maka terjadilah ia"

GORESAN TAK BERTEMA.

Mencoba menuangkan hati
Pada goresan hitam diatas putih
Walau ku hanya seorang anak manusia
Yang tak mengerti apa itu arti cinta?
Alunan waktu yang menyertaiku
Tlah menghadirkan cinta dalam hidupku
Satu demi satu rasa itu merengkuh relung jiwa
Dan merampas smua bagian
Saat kau datang dalam tiap mimpiku
Andai ku mampu
Ingin ku menantang dunia yang selalu menjeratku
dengan setia angin cinta yang begitu membebaniku
Engkau yang ku sayang
Kini ku mengerti
bahwa ku berada pada sisi yang salah
yang teramat sempurna untuk ku raih
Semua satu bagian dalam diriku
berkata
Aku hanyalah sesuatu yang tak berarti dalam harimu atau bahkan 
Hanya seperti batu yang tak berguna
Hingga dengan mudah kau hempaskan
Mungkin kau tak mempercayai apa itu cinta sejati
Hingga kau hanya memandangnya sebelah mata
Cintaku yang terasa hampa tanpa hadirmu
Mungkin bila masih di beri kesempatan
Hanya satu kali seumur hidup untuk berkata jujur
Saat inilah akan ku ungkapkan
Bahwa aku menyayangimu
Mencintaimu melebihi diriku "

"Orang yang bahagia bukanlah mereka yang selalu mendapatkan keinginannya, melainkan mereka yang tetap bangkit ketika mereka jatuh, entah bagaimana dalam perjalanan kehidupan, kamu belajar lebih banyak tentang dirimu sendiri dan menyadari bahwa penyesalan tidak seharusnya ada, cintamu akan tetap di hati sebagai penghargaan abadi atas pilihan-pilihan hidup yang telah kau buat.

Teman sejati, mengerti ketika kamu berkata 'aku lupa'
menunggu selamanya ketika kamu berkata 'tunggu sebentar'
tetap tinggal ketika kamu berkata 'tinggalkan aku sendiri'
membuka pintu meski kamu belum mengetuk dan belum berkata 'bolehkah saya masuk?'

mencintai juga bukanlah bagaimana kamu melupakan dia bila ia berbuat kesalahan,
melainkan bagaimana kamu memaafkan. B
ukanlah bagaimana kamu mendengarkan, melainkan bagaimana kamu mengerti. Bukanlah apa yang kamu lihat, melainkan apa yang kamu rasa, bukanlah bagaimana kamu melepaskan melainkan bagaimana kamu bertahan.

Mungkin akan tiba saatnya di mana kamu harus berhenti mencintai seseorang, karena orang itu berhenti mencintai kita, karena kita menyadari bahwa orang itu akan lebih berbahagia apabila kita melepaskannya.

Kadangkala, orang yang paling mencintaimu adalah orang yang tak pernah menyatakan cinta kepadamu, karena takut kau berpaling dan memberi jarak, dan bila suatu saat pergi, kau akan menyadari bahwa dia adalah cinta yang tak kau sadari"

Sunday, 25 May 2014

Marah Cetuskan Konflik dan Peperangan.

Oleh Zulina Hassan.

Dunia hari ini diwarnai dengan pergaduhan dan peperangan. Sama ada peperangan antara bangsa, negara, agama, etnik, suku kaum, bahkan berlaku juga peperangan antara anak-beranak dan kaum keluarga.

Kenapa semua ini berlaku? 

Jawapannya tidak lain, kerana manusia hari ini terlalu mengikut perasaan marah yang bermaharajalela dalam diri mereka. Perasaan marah yang sememangnya dibekalkan oleh Allah dalam diri setiap manusia, sekiranya tidak dikawal bahkan dibiarkan menguasai diri, akan membawa kepada kebinasaan sama ada kepada individu yang sedang marah itu, atau kepada orang lain atau benda-benda lain yang ada di sekelilingnya.

Dari perspektif Islam, kita harus menerima bahawa marah adalah sifat semula jadi atau fitrah setiap manusia. Sewaktu Allah mencipta Nabi Adam a.s, para malaikat mengetahui bahawa dengan sifat marah yang dibekalkan itu, manusia akan berbuat kerosakan di muka bumi. Perkara ini termaktub di dalam al-Quran, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Sudah pastilah setiap kejadian Allah itu mempunyai hikmah di sebaliknya. Disamping membekalkan sifat marah, Allah turut membekalkan beberapa mekanisme perlindungan supaya manusia dapat menahan diri atau melindungi diri daripada sifat marah yang membawa kepada kebinasaan.

Sifat marah membezakan manusia dengan binatang. Apabila seekor singa atau serigala menjadi marah, ia akan bertindak tanpa berfikir. Sebaliknya, manusia dibekalkan akal fikiran, maka manusia boleh memilih sama ada bertindak menggunakan akal fikiran atau bertindak membuta tuli sama seperti seekor binatang.

Kemarahan yang tidak dikawal, memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan harian seseorang itu. Ia memisahkan ibu dan anak, merenggangkan persahabatan, menjauhkan keadilan, membawa kepada kemurungan dan kekecewaan, membawa kepada kegilaan dan akhirnya membawa kepada penyesalan yang tidak terhingga.

Sekiranya kemarahan menguasai kelompok atau jumlah individu yang ramai, maka kemusnahan yang akan terjadi jauh lebih besar skalanya. Ia menyebabkan peperangan sehingga memusnahkan sebuah bandar, bahkan sebuah negara, bangsa dan sebuah tamadun.

Mengekang Kemarahan.

Keinginan semula jadi yang dipenuhi, akan dapat mengelakkan rasa marah. Misalnya keinginan kepada makanan, minuman, tempat tinggal, kasih sayang, seks dan banyak lagi.

Dalam tubuh manusia, terdapat beberapa jenis hormon yang mempengaruhi mood atau
perasaan seseorang itu. Kajian saintifik menunjukkan keadaan hypoglycemia dan hyperthyroidisme boleh membuatkan seseorang itu berasa marah. Bagi mengelakkan keadaan ini, maka seseorang itu hendaklah memastikan kadar hormon di dalam tubuhnya sentiasa seimbang dengan cara menjaga kesihatan tubuh badannya.

Nabi s.a.w. tidak pernah menunjukkan kemarahan baginda terhadap golongan kafir Quraisy yang sentiasa bertindak di luar batasan terhadap kaum Muslimin. Bahkan, baginda sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan penuh hikmah. Bagaimanakah cara baginda mengawal kemarahan? Suatu ketika seorang sahabat meminta nasihat daripada baginda, lalu kata Nabi, 

“Janganlah kamu marah.” Sahabat yang lain pula bertanya, “Apakah yang dapat menyelamatkan daku daripada kemurkaan Allah? Maka jawab Nabi: “Jangan tunjukkan kemarahan kamu.” Sahabat lain pula meminta satu amalan kebaikan yang mudah untuk dilakukan, maka kata Nabi, “Janganlah marah.” Suatu ketika, baginda bertanya kepada para sahabat. “Siapakah orang yang paling kuat dikalangan kamu?” Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan. Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Bukanlah orang yang kuat itu dengan banyaknya berperang, yang kuat itu orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” Sebagai manusia biasa, Nabi juga berasa marah. Namun baginda tidak pernah menunjukkan
kemarahan itu dengan lidah atau perbuatannya. Apabila baginda marah, para sahabat mengetahuinya dengan melihat wajah baginda berubah menjadi merah dan peluh menitis di
dahinya. Baginda juga akan senyap untuk beberapa bagi mengawal rasa marahnya.

Kemarahan yang wajar.

Seseorang yang tidak mempunyai rasa marah terhadap penindasan, penderaan, ketidakadilan dan salah laku yang berlaku di hadapannya, hakikatnya adalah seorang yang
tidak memiliki perasaan. Dengan membiarkan perkara-perkara negatif itu berlaku, maka kejahatan akan berleluasa di muka bumi. Sewajarnya, pada ketika inilah seseorang itu patut marah dengan cara menghentikan kejahatan itu dengan kaedah yang telah digariskan oleh Allah dan ditunjukkan oleh Rasul-Nya.

Bersikap tidak endah terhadap kejahatan dan ketidakadilan, samalah hakikatnya seperti menyumbang ke arah itu.

Kesan kepada tubuh.

Secara psikologi, apa yang berlaku kepada diri seseorang itu apabila dia marah? Kadar denyutan jantung dan tekanan darahnya akan meningkat. Ini adalah kesan langsung akibat lebihan hormon adrenalin dalam sistem peredaran darah. Kekuatan fizikal juga akan meningkat manakala kewarasan dan daya berfikir menurun.

Organ-organ badan yang berada dalam kawalan, akan hilang kawalan. Lidah akan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan mengguris hati, tangan akan memukul, kaki akan menendang apa saja yang berada di kelilingnya, bahkan dia mungkin akan mencederakan dirinya sendiri.

Apabila rasa marah yang berpanjangan menguasai diri, rasa marah ini perlu diluahkan atau dihilangkan. Sekiranya perasaan ini dipendam, lebihan hormon adrenalin akan menjadi toksin
dalam tubuh dan menjejaskan kesihatan untuk jangka masa panjang. Dia bukan saja akan menjadi seorang yang murung, kecewa, malah fikiran yang bercelaru yang boleh membawa kepada kegilaan. Tekanan darah yang tinggi dan kadar denyutan jantung yang laju akan membawa kepada serangan jantung dan penyakit fizikal yang lain.

Ubat Marah.

Individu yang normal pasti akan mengalami perasaan marah apabila berhadapan dengan situasi yang memungkin perkara itu berlaku, dan kemarahan itu tidak boleh dielakkan. Perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan rasa marah adalah seperti berikut:

Sibukkan diri dengan mengingati Allah. Misalnya dengan berzikir dan berselawat. Firman Allah
dalam sebuah hadis qudsi:

 “Wahai anak-anak Adam, apabila kamu marah, ingatlah kepada-Ku.”
Meminta nasihat daripada orang berpengalaman. Suatu kisah yang berlaku pada zaman Nabi, sepasang suami isteri yang sering bergaduh bertemu baginda untuk meminta nasihat. Lalu kata Nabi, “Apabila kamu berasa marah, maka hiruplah air dan biarkan air itu di dalam mulutmu sehingga kemarahanmu reda.” 

Marah itu datangnya dari syaitan. Oleh itu, mintalah perlindungan dari Allah seperti membaca kalimah taawuz.

Jika berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah duduk, dan jika sedang duduk, maka hendaklah berbaring. Fikirkan tentang kemurkaan Tuhan dan hukuman dari-Nya. Siapakah yang lebih besar kemarahannya, manusia atau Tuhan. Apa akan berlaku sekiranya Tuhan menunjukkan kemurkaan-Nya?

Maafkan orang yang menyebabkan kemarahan itu. Setiap orang melakukan kesilapan termasuk diri
kita. Jika kita mengharapkan keampunan Tuhan, maka wajarlah kita bersedia untuk memaafkan
orang lain. Sifat saling maaf-memaafkan akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat. Berwuduklah. Sebaik-baiknya lakukan solat sunat.

Ingatlah bahawa kehidupan ini hanya sementara saja. Setiap orang akan mati dan akan diadili di Padang Mahsyar kelak. Oleh yang demikian, perkara terbaik yang wajar dilakukan apabila ada orang yang menyebabkan kemarahan, ialah membalas kemarahan itu dengan kebaikan dan kasih sayang. Apabila perkara ini mampu dilakukan, barulah dunia akan menjadi tempat yang indah untuk didiami, aman dan sentosa.