Monday 1 October 2012

Tentang Syukur (Yang baik punya sejarah, yang jahat punya masa depan).


Apakah masih tidak jelas di hatimu wahai hamba? Allah itu Maha Penyayang dan Maha Adil kepada hambaNya. Ketahuilah oleh mu bahawa kemiskinan, hidup dalam serba kekurangan sememangnya satu ujian tapi kekayaan dan kesenangan hidup itu juga adalah satu ujian. Jika engkau miskin, bersyukurlah engkau tidak hidup merempat di kaki lima terpaksa meminta sedekah, masih mampu memiliki atau menyewa tempat berteduh, tidak tidur di perhentian bas atau masjid, engkau tidak papa kedana, bersyukurlah dengan apa yang ada dan tak usah mengeluh lagi kerana sebenarnya engkau sudah memiliki kasih sayang dari Allah. Renunglah dari dalam mata hati, dari dasar yang terdalam kerana di situ ada kebijaksanaan yang Allah anugerahkan untukmu. Renunglah wahai hamba, sesungguhnya engkau sudah memiliki apa yang kau perlu, dalam kealpaan memikirkan dan mengejar apa yang engkau mahu. Janganlah sesekali membandingkan dirimu dengan mereka yang memiliki kemewahan hidup, engkau tidak tahu apa yang telah mereka tempuhi untuk memiliki nikmat dunia yang telah mereka miliki. Engkau tidak pernah akan merasa cukup sampai kau mati jika itulah jalan pemikiran yang kau pilih. 

Ingatlah, di dalam kesenangan dan kemewahan hidup itu juga terselit ujian-ujian Allah. Seperti engkau, mereka juga diuji tentang keikhlasan, kesabaran, kejujuran, halal dan haram, riba, nafsu, dan berbagai-bagai godaan nikmat dunia. Dengan cara apakah mereka mencapai kemewahan itu? Ke mana mereka belanjakan harta-harta mereka? Bagaimana pula cara hidup mereka? Masihkah bersyukur dan mengingati Allah seperti dulu? Atau sudah sibuk dikelab-kelab malam? Tak usahlah kau fikirkan semua itu. Aku berbicara tentang hal- hal sebegini bukan kerana aku manusia yang baik, bukan cuba untuk menasihati sesiapa, tak lebih dari sekadar berbicara dengan lubuk hati sendiri yang masih berperang dengan hawa nafsu. Kerana merasakan hawa nafsu menguasai diri ini melampaui iman dan akal fikir yang waras. Bukan juga untuk menanamkan sikap tidak perlu mencari kesenangan dunia, soalnya ialah mendapatkan keseimbangan dalam mengejar dunia dan hidup selepas mati. 

Pernah satu ketika dulu aku melihat sahabat baik yang mengeluh kekurangan itu dan ini, segalanya serba sederhana dan kekurangan tetapi mencukupi, tidaklah hidup merempat, lalu beliau berhijrah ke Kuala Lumpur, berusaha mencari wang bersungguh-sungguh. Allah tidak akan mengubah nasib kita melainkan kita sendiri yang mengubahnya.. Allah memberi beliau kesenangan berupa wang ringgit tapi apa yang beliau lakukan selepas mendapat secebis kesenangan hidup? Rezeki Allah itu digunakan untuk bersuka-suka, kelab malam, perempuan, dan pusat judi. Belum merasa puas, beliau mula mencuri wang dari tempat beliau bekerja. Jumlahnya boleh dikatakan cukup untuk membayar muka untuk keluarkan kereta Toyota Caldina. Tak lama kemudian apa yang berlaku? Allah masih sayangkan beliau.. Beliau tertangkap semasa sedang mencuri wang. Selepas itu hidup beliau kembali seperti sebelumnya. Tidak mewah, tidak pula miskin papa kedana, cukup makan cukup pakaiannya. Tapi tidak ada lagi peruntukan untuk berhabis membeli dosa. Syukurlah beliau masih boleh memandang semua yang terjadi itu melalui sisi yang terang, bahwasanya Allah sedang menguji diri beliau dan ditanamkanNya satu soalan di hati, "siapa aku semasa hidup sederhana? siapa pula aku bila di limpahi kemewahan? itu baru sedikit, siapa dan bagaimana pula gaya hidupku jika sudah mampu memiliki banglo, kereta mewah?". Ternyata Allah masih sayangkan beliau lantas beliau tidak dibiarkan hanyut dalam kemewahan yang membuat beliau hanyut jauh dari niat yang asal.

Itu baru satu kisah hamba yang sederhana hidupnya. Bagaimana pula dengan seorang yang mempunyai pendapatan bulanan berbelas ribu ringgit? Aku juga tidak pernah mengerti bagaimana orang yang mempunyai gaji bulanan sekitar 13 ribu ringgit, kereta mewah keluaran Amerika, tetapi masih terpaksa meminjam dari sahabat yang mempunyai gaji yang jauh lebih rendah? Kereta Amerika juga terpaksa dijual. Jawapannya dadah.. melepak di kelab malam seperti melepak di kedai kopi, boleh dikatakan tiap-tiap malam, arak, harganya usah di tanya, perempuan, pelacur, bercuti dan melakukan aktiviti-aktiviti riadah mahal. Aku tidak cuba menilai atau menghakimi sesiapa, itu kerja Allah. Cuma.. adakalanya aku tertanya-tanya siapakah diri ini jika berada di tempat mereka? Pernah juga sekali.. bukan sekali kalau difikir-fikirkan tapi lebih dari sekali, aku dipelawa untuk sama-sama melanggan pelacur. "Free of charge". Berderau darah aku melawan nafsu serakah yang lebih mengalahkan nafsu kuda. Aku tolak pelawaan beliau. Waktu itu juga aku sedar betapa hitam dan kotornya hati ini. Aku menolak bukan kerana aku ini muslim yang soleh yang ingat Allah, bukan kerana terfikirkan azabNya yang maha pedih, tapi semata-mata kerana takutkan penyakit. Takut kena sifilis, takut kena HIV. 

Pernah terjadi satu perkara yang membuatkan aku berfikir sejenak tentang ini. Tentang siapakah aku jika kaya. Apa yang terjadi ini tidaklah membuat aku merasa "biarlah aku terus hidup dalam kesempitan sebegini sampai bila-bila, jika aku kaya, pasti banyak kejahatan yang bakal aku lakukan", tidak.. Apa yang terdetik di hati ialah sikap berhati-hati dalam perjalanan mencari kesenangan hidup agar tidak tersasar jauh dari niat yang asal. Pada suatu malam, sekitar jam 12 malam, aku memandu sendirian untuk berjumpa kawan-kawan. Sampai di satu kawasan sunyi tiada satu pun kenderaan, tiba-tiba sebuah motosikal yang kuat bunyi ekzosnya datang menghampiri aku dari arah belakang. Boleh saja dia memotong kereta aku tapi dia sengaja rapatkan diri dengan aku dan memulas throttle minyak "membakar" aku dengan bunyi ekzosnya yang bingit sambil memandang ke arah aku. Sangat rapat, aku boleh hulur tangan keluar dan sentuh dia kalau aku mahu. Mula-mula aku agak terkejut, aku sangka dia mahu merompak memandangkan keadaan jalan yang sunyi tiada kenderaan lain, tapi tak mungkin kerana dia berseorangan. Apa yang dapat aku fikirkan ialah dia ini mungkin mabuk. Tak cukup dengan itu, dia memecut sedikit dan "membakar" aku dari arah depan pula, sangat rapat. Asap berkepul-kepul menyapa cermin depan kereta. Demi Allah.. kalau di turutkan nafsu amarah, aku sebenarnya sudah nekad mahu saja menekan pedal minyak dan melanggar manusia tidak berakal ini dari arah belakang. Aku benar-benar marah sampai menggigil waktu itu. Demi Allah.. waktu itu bukan dosa, bukan undang- undang lalu lintas ciptaan manusia yang aku takutkan, satu-satunya perkara yang menghalang aku daripada berbuat sedemikian ialah "kalau aku langgar dia, aku tak peduli apa nak jadi pada dia tapi kalau kereta aku calar-balar atau pecah bahagian depan, AKU TAK ADA WANG nak hantar kereta ke bengkel". Sudahnya aku pintas motosikal ini dan terus memecut laju, dia tidak dapat ikut lagi dan terus menghilang dalam pekat malam.

Astaghfirullahaladzim.. Kejadian yang berlaku tidak sampai tiga minit itu membuat aku berfikir sejenak. Apa yang menghalang aku daripada merempuh motosikal itu dengan niat membuat dia jatuh dan mungkin cedera, mungkin mati digilis bukanlah kerana takutkan dosa, tapi kerana dalam beberapa saat itu apa yang di risaukan dalam kepala otak ini ialah aku tak ada wang nak baiki kereta yang mungkin bercalar atau pecah bumper depan. Percayalah, jika wang bukan masalah bagiku, sudah lama aku rempuh motosikal itu. Waktu itu juga aku sedar siapakah aku, apakah yang mampu dan tergamak aku lakukan ketika itu jika aku memiliki kesenangan berupa wang ringgit. Ternyata benar Allah tidak menjadikan sesuatu perkara dengan sia-sia, ternyata Allah masih sayangkan hambaNya yang hina dan berhati busuk ini. Aku juga percaya itu bukanlah kebetulan tapi Allah sedang berbicara dengan hambaNya. Subhanallah, Maha Suci Allah..

Aku tidak cuba untuk bercerita tentang sesiapa atau menilai sesiapa. Aku tidak mempunyai hak untuk menilai siapa bagus siapa tidak. Kerana aku juga manusia yang penuh dengan dosa dan cacat cela. Yang bagus hari ini belum tentu penyudahnya syurga. Yang tidak bagus hari ini belum tentu neraka pengakhirannya. Aku juga tidak sesekali meminta sesiapa bersetuju dengan apa yang aku coretkan. Malah aku sedar banyak perkara atau tindakan yang boleh dipersoalkan. Tidak disertakan ayat suci Al-Quran, tiada hadis, ianya tidak lebih dari sekadar pengalaman hidup ini yang cetek, penuh dengan kekhilafan dan keputusan salah yang telah aku pilih. Sesungguhnya aku percaya manusia yang baik itu punya sejarah, manusia yang jahat punya masa depan. Lantas dalam mencari kesenangan hidup, aku cuba untuk mensyukuri apa yang ada. Aku cuba untuk tidak mengeluh dengan apa yang tiada. Kerana yang sebenar-benarnya aku sudah pun memiliki apa yang aku perlukan. Sesungguhnya beza antara keperluan dan kehendak ini sudah pun dipelajari dalam subjek ekonomi waktu sekolah menengah dulu. Sesungguhnya aku lupa dan terus mengejar apa yang aku hendakkan. Tidak ada salahnya asalkan seiring dengan iman di dada, jika tidak.. jadilah aku manusia yang zalim. Zalim sesama manusia, zalim pada diri sendiri..