Sunday, 18 September 2022

Kolam Minda



Semalam bersama isteri, anak saudara dan mertua, menghantar cucunya pulang ke asrama. Hari ini wajah masih merengut, gusi berdenyut, menjalar ke kiri kepala, Aurora pula demam tak sekolah lagi, menambah getar di hati lara seperti Yusaini. Teringatkan irama sang Idris yang sunyi tanpa bait-bait kata, lalu berlagak seperti sang penyair aku pejamkan mata yang sedari tadi merenung kosong ke horizon, kerutkan dahi, meraba-raba menjala dalam kelamnya kolam minda lalu membawa pulang beberapa baris cerita, usai sesingkat waktu dalam kereta sahaja, alhamdulillah. Tanya pada jiwa apa nak di bangga? Apa dalam raga semuanya ilham dari Yang Maha Bijaksana. Masakan bisa aku mendabik dada, sombong minta jauh kerana ia sifat sang iblis, bukan hamba, hati berduka lara, terhiris kerana sedar suara tidak selancar jari yang bercerita, selebihnya aku teruskan melangkah dalam hiba.  



Saturday, 23 February 2019

Tentang Rose Fi Amanillah dan masa lalu.

"Ada masa-masanya, masa lalu itu merentas masa dan hadir di depan mata, hadir di dalam kehidupan kita hari ini, tanpa di rancang, melainkan rancangan Dia jualah semata-mata.. Doa di depan Kaabah tidak semestinya dimakbulkan. Di dengari itu pasti tapi dimakbulkan itu tidak semesti"

Jam sudah menunjukkan sekarang sudah pukul 3.07 minit pagi. Aku masih tak dapat lelapkan mata, dalam hati ini ada seribu satu kebimbangan kerana tidak bekerja. Apa yang nak ditakutkan? Oh ya aku sudah bergelar seorang suami dan ayah. Tapi yakinlah! Allah ada..

Kerja pun tidak, sudah macam biawak asyik terperap tidur dalam bilik sampai ke tengah hari. Makin hari makin rasa macam bapak tak guna, jadi hari ini keluar sebentar jalan petang-petang di Lake Garden. Terserempak pula dengan masa lalu.. Cantik kan dia? Tanya sang isteri. Aku diam, iyakan tidak, nafi pun tidak, tidak berminat nak jawab. Saya tidak sedar kehadiran dia, awak yang nampak dan cakap pada saya. Siapa suruh cakap. Awak yang baca blog saya dari sebelum kita jumpa, jadi awak tahu itu hanyalah sekadar masa lalu. Saya tidaklah marah, saya faham.. cuma saya tidak berminat untuk bercakap lagi tentang ini.

Doa di depan Kaabah pasti dimakbulkan tuhan. Selalu kita dengar itu. Tapi bagi aku, doa di depan Kaabah tidak semestinya dimakbulkan. Mungkin ya mungkin tidak, terserah pula cepat atau lambat dan apa pun jawaban-Nya, Dia saja yang tahu apa yang terbaik untukmu kerana Dialah sebaik-baik Perencana.

Di dengari itu pasti tapi dimakbulkan itu tidak semesti. (Hanya sekadar berdasarkan pengalaman sendiri, jika ada yang mahu menegur kata-kata aku ini bahaya, takut melibatkan akidah, silakan saudara-saudariku saya sedia menerima teguran dan mengubah apa yang ditulis). Dia mendengar doa dan tangisku di depan Kaabah, di puncak Bukit Arafah, tapi tidaklah Dia memberi apa yang aku minta. Sebaliknya Dia memberi apa yang aku perlu, itulah Dia temukan saya dan awak. Dia tahu masa lalu itu tidak akan mahu menjalani kehidupan yang seperti awak lalui bersama saya sekarang. Serba kurang..

Dalam ramai-ramai, awak orang yang paling kerap ingatkan saya semula berapa besarnya rasa kasih dan sayangku pada Kyoko, berapa kuatnya aku bertahan mengejar masa lalu sehingga di hadapan Kaabah aku berdoa agar Allah menjadikannya Separuh Aku? Tapi ternyata doaku tidak dimakbulkan Allah walaupun aku menangis merintih. Aku juga tidak mengerti (pada waktu itu) kenapa Allah masih tidak mendengar permintaanku walaupun aku merintih di hadapan Kaabah dan di atas puncak Bukit Arafah? Ternyata kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk ku, Dia tahu siapa yang mampu menyayangiku seadanya aku. Lebih tepat lagi Dia hantarkan awak dan melalui awaklah Dia memberi kasih-sayangNya terhadap saya. Dan saya menyayangimu lebih dari sesiapapun, tetapi tidak pula boleh saya mengutamakan engkau melebihi ibuku, saya menyukaimu satu ketika dulu tapi takdir tidak mendekatkan kita, dan hari ini takdir telah menyatukan kita tanpa pernah kita rancang dan sangka.

Apa yang aku rasa setiap kali masa lalu ini hadir di depan mata hanyalah - sakit. Tidak bermaksud aku berdendam, sudah lama aku let go, memikirkan aku juga ada melukakan perasaan orang, jadi aku memaafkan dengan harapan aku juga dimaafkan manusia dan tuhan. Pernah awak beritahu pada saya yang awak berkecil hati kerana saya tidak menulis apa-apa pun tentang awak disini tapi awak jangan lupa, masa lalu yang satu ini juga pernah saya menulis tentangnya di sini tapi sudah saya padamkan, bukan kerana awak, malah saya telah padam ia demi diri saya sendiri, sebelum saya jumpa awak. Saya padam kerana tidak ada apa yang bagus tentangnya untuk saya kenang melainkan sebuah kesakitan. Adakah ini sudah kedengaran cukup adil untuk awak? Saya harap jawabanmu adalah iya.

Jadi kenapa harus kau rasa cemburu bila membaca kisah-kisah lama perjalanan hidupku? Aku memang sengaja tidak buang penulisan-penulisan lain bukan kerana masih tidak dapat melepaskan cerita lama, tapi kerana aku mahu ingat saat-saat kehampaan itu supaya aku sentiasa beringat bagaimanakah rasanya bila berbohong dan dibohongi, pengkhianatan dan dikhianati, menyayangi dan disayangi, pengorbanan, menghargai dan dilupakan, agar aku dapat menjadi suami yang lebih baik untuk isteri ku kelak, supaya aku tidak melukakan dia kelak kerana aku tahu bagaimana rasanya bila terluka. Sebesar mana pun aku mengasihi orang-orang terdahulu dalam hidupku, tidakkah kau sedar aku meletakkan kedudukanmu lebih tinggi daripada mereka? Hanya kau yang tahu apa aku bercakap benar atau tidak. Dan dari penulisan yang lalu juga jika aku sendiri yang membacanya semula, aku akan melihat sendiri kelemahanku, ketidakmatanganku dalam apa jua perkara, dan kebodohanku.

Dan mungkin lebih baik jika kau pandang ini semua dari satu sisi yang lain. Janganlah membanding-bandingkan siapa yang aku lebih sayang, yang ini dengan yang itu lebih cinta yang mana? Kelemahan yang kau cari, kelemahanlah jua yang akan kau temui kerana aku juga hamba hina manusia biasa. Pandanglah dari satu sisi di mana, itulah aku dan sejauh mana kesanggupanku bila sudah menyayangi makhluk yang bernama perempuan. Janganlah kau cuba menduga sejauh mana aku akan mengejarmu dan mengasihimu dengan jalan berbohong atau berlaku khianat kerana aku memang tidak akan mengejarmu jika kau berbuat sedemikian walaupun sekali, aku lebih santai dan segalanya lebih lancar kerana kau tidak berbuat akan apa yang aku larang dan tidak suka. Mungkin itu sebabnya aku tidak menulis tentangmu kerana aku sedang menikmati hidupku kini. Sedangkan banyak yang aku tulis itu tertulis bila aku merasa sedih. Tidak semua tetapi kebanyakannya.

Orang-orangan selalu menyalahkan tuhan, selalu mempersoalkan dimanakah adilnya tuhan jika seseorang itu sudah ditetapkan di Loh Mahfuz tentang kebahagiaan dan kedukaannya, kekayaan dan kemiskinannya, baik dan jahatnya, malang dan nasib baiknya, syurga atau nerakanya? Semuanya sudah tertulis semenjak kita belum lahir ke dunia.

Kenapakah kau bermimpi tentangku sedangkan kita tidak pernah bertegur sapa sebelum itu? Siapa sangka aku yang hanya menyukaimu hanya dari jauh tidak pernah berani bertegur sapa, telah hidup bersama hari ini? Pernah dengar orang kata "kalau dia tak keluar tadi, mungkin dia masih hidup sekarang, tidak mati di atas jalanraya"? Kenyataan seperti itu adalah salah sama sekali. Setiap tindakan kita membuka lebih banyak pintu kemungkinan. Beratus, beribu, berjuta malah aku percaya beratus-ratus juta kemungkinan. Aku tak tahu apa ayat yang tepat untuk buat kau faham tapi aku boleh bagi satu contoh, pernah tengok Avengers : Infinity War? Doctor Strange cuba lihat ke masa depan, apakah ada kebarangkalian mereka boleh mengalahkan Thanos? Ada, dan cuma satu kemungkinan dalam beribu. Dan mereka mungkin sudah menang jika Star Lord tidak mengikut perasaan, jika Spider Man sempat tarik keluar glove Thanos. Bolehkah kita menyalahkan Star Lord kerana yang dibunuh itu orang yang dia cinta? Atau Spider Man yang salah kerana tidak cukup kuat untuk segera melucutkan glove Thanos? Bagaimanakah keadaannya jika Thor yang berada di tempat Spider Man? Berjaya? Atau masih ada pelbagai kemungkinan yang membuatkan Thor gagal dengan lebih teruk? Atau Black Panther? Winter Soldier? Kita boleh letak sesiapa saja disitu tapi tiada siapa yang akan tahu apa kesudahannya. Mungkin ya, mungkin tidak tapi yang pasti kita sememangnya punya pilihan di atas tindakan kita sendiri. Aku tak berani dan tak pandai cakap lebih tentang ini, sebaiknya kita cari orang yang punya ilmu dan memang bidangnya untuk berbicara dengan lebih dalam tentang ini. Maksud aku ialah tentang tuhan, tentang mereka yang menyalahkan agama dan tuhan di atas kesusahan dan apa pun musibah yang mereka terpaksa harungi, bukan tentang Infinity War.

Lantas, dari apa yang kita lalui petang tadi, adakah sebarang kemungkinan aku kembali merasa cinta pada masa lalu? Adakah kemungkinan aku bertegur sapa dengannya? Adakah kemungkinan aku berbohong pada engkau aku harus meninggalkan kau di situ dan pergi ke tempat lain kerana ada urusan, walhal aku berpatah balik untuk mencari masa lalu? Hasil dari pembohonganku terhadap engkau ini, adakah kemungkinan aku bersama dengan masa lalu? Malah lebih ekstrim, aku terus melutut di kakinya tadi, atau memeluknya menyatakan betapa aku rindu? Atau aku terus mencari dia di rumah untuk menyatakan perasaanku yang tak pernah padam, aku tahu di mana dia tinggal. Mungkin tidak, mungkin dia tidak pernah punya perasaan padaku. Mungkin ya lantas dia mahu hidup bersamaku, segalanya mungkin jika aku memilih pintu-pintu lain siang tadi. Adakah kemungkinan ini semua? Jawabannya - ADA.

TAPI. Tapi di dalam semua kemungkinan-kemungkinan ini, apa yang berlaku tadi? Aku memilih satu pintu dimana aku telah menundukkan pandanganku, mengelak daripada bertembung bersemuka, malah aku membelakangi masa lalu. Aku memilih untuk terus melangkah meluangkan masa yang ada untuk bersama anak kecil ini dan keluarga, ada banyak lagi yang harus aku bimbangkan tentang apa yang bakal mendatang. Kau boleh mula merasa bimbang jika dengan tiba-tiba aku memilih untuk tidak pulang ke ibukota esok, atau tiba-tiba aku jual tiket yang sudah di beli, lagi teruk, aku arahkan kau dan anak pulang dahulu, aku tinggal di sini.

Maka benarlah setiap kedukaan itu berserta hikmah, tidaklah kita di uji dengan sia-sia, perasaan sakit itulah yang saya bawa bersama sampai ke hari ini, bukan dengan niat mahu membalas jika berpeluang, sedikitpun tidak diiringi amarah, tetapi sekadar hanya untuk mengingatkan diri jika saya tahu bagaimana rasa itu, semoga saya tidak berbuat sedemikian pada orang, pada awak. Hakikatnya, setiap makhluk yang Dia hadirkan dalam hidup kita sehingga hari ini, ada memberi bermacam-macam pelajaran, hanya kita saja mahu mengambil pelajaran atau tidak. Dan pada ketika awak ambil gambar ini, masa lalu itu mungkin sedang melintas di belakang saya.. entah, saya tidak menoleh untuk ambil tahu. Kerana ia hanyalah sekadar masa lalu, biarlah ia terus dibelakangku.

Awak pun tahu, saya pernah nyatakan jika saya berpeluang untuk jumpa dan berbicara dengan masa-masa lalu, saya hanya mahu memohon kemaafan. Memang ada orang yang saya sudah minta maaf tapi jawaban yang saya dapatkan dari permintaan maaf itu hanyalah “yang tu nak maafkan atau tak tengok dululah macam mana”.. Apa lagi yang boleh saya katakan, telan sajalah.

Monday, 7 August 2017

Terima kasih segalanya.

Hidup biar mengenang jasa, sementara kau terus mara ke depan dengan kehidupanmu, tidak kiralah ia penuh dengan episod-episod kejayaan atau di penuhi kisah-kisah duka, tidak kiralah kau kaya-raya berjaya atau biasa-biasa saja, kedua-duanya adalah ujian untuk setiap di antara kita. Janganlah di lupakan kudrat-kudrat lama yang sentiasa berada di sisimu dari engkau masih berhingus, kekuatan yang tuhan kirimkan untuk memimpinmu saat kau masih bertatih, sehinggalah kau beranjak dewasa masuk ke alam pra-sekolah, dia yang memandikanmu dan menyiapkan pakaianmu, menyikat rambutmu, dan menempel bedak di pipimu. Di masa-masa kau masih kecil comel dan semua orang menyayangimu. Yang sanggup menunggu di sekolah sehingga loceng tamat sesi berbunyi bila masuk tengah hari. 

Kudrat yang di pinjamkan itu telah di tarik balik oleh Yang Memberi. Disaat-saat aku punya kekuatan untuk menolak dan menarik besi-besi, nun di sana dia terpaksa mengesot sendiri ke kamar mandi, makan minum dia perlu di bangunkan dan seseorang perlu memegang atau sandarkan dia di dinding, perlu di suap, dia tidak lagi bisa makan sendiri. Sebelum-sebelum ini dia masih kenal akan wajah ini tapi hari ini, pada saat ini, dia sudah tidak kenal diriku, si manja mengada yang dia manjakan dari kecil dahulu, si bongsu yang di malam hari sewaktu tidur dengan ibu, aku bangun meminta pada ibu untuk tidur di bilik dia bersama dengannya. Tidak ternilai pengorbananmu dan terlalu panjang untuk diceritakan, biar aku simpan ia dalam hati untuk di kenang sepanjang hayat. Kini kau hanya menunggu masa untuk di jemput tuhan, dan aku sentiasa berdoa agar Dia mengampunkan segala dosa-dosamu, agar Dia menempatkanmu di kalangan orang-orang yang beriman, orang-orang yang mendapat keuntungan disisi-Nya.



Sunday, 25 December 2016

Immortal Happiness.

Kata-kata yang ikhlas pasti akan mengalir seperti air, tidak perlu waktu untuk memikirkan, tidak perlu ruang untuk menjelaskan.

Kamu tahu kamu siapa, bagaimana dan bila semuanya bermula. Kamu tahu wajah ini, kamu tahu gambar ini. Adakah saya masih orang yang sama saat awal jumpa? Atau saya sudah berubah di mata anda? Perubahan yang baik kah? Atau buruk kah? Adakah saya semakin menjauh menurut kata hati anda? Hanya anda yang tahu jawabannya. Dan saya tidak tahu apa yang bakal mendatang.

Saya seorang lelaki yang jahil, tetapi saya tidak mahu mengheret anda dalam kejahilan. Saya lelaki yang penuh dengan amarah, tetapi saya tidak mahu anda terheret bergelut, melecur dengan api kemarahan saya yang pastinya akan membuat saya juga turut terbakar hangus. Semestinya saya mahu agar semuanya baik-baik saja tetapi ia terserah juga bagaimana tindakan anda. Saya seorang lelaki yang dingin dan tidak pandai berlembut atau manis mulut, untuk sentiasa mengucapkan kata 'saya cinta' dalam setiap hari-hari anda. Tetapi saya sentiasa cuba keluar dari kedinginan itu melalui perbuatan. Saya minta maaf jika tersalah kata dan perbuatan. Tetapi anda harus waras jika saya menegaskan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Hanya perbuatan yang menjadi bukti saya lelaki yang berdiri di atas apa yang telah saya katakan. Jika semua ini tidak memberi sebarang makna yang baik buat anda, maka tidak ada apa lagi yang dapat saya katakan. Maka saya lebih baik diam, kerana anda tidak akan suka diri saya yang tidak diam, saya juga membenci diri saya yang tidak diam. Kerana saya sedar akan satu perkara, jika saya tidak bijak, yang akhirnya akan binasa adalah diri saya sendiri..

Walau apa pun, adakah anda ingat esok hari apa? Saya tidak lupa, gambar ini sudah cukup untuk menunjukkan saya tidak pernah lupa. Saya hanya lelaki miskin yang tidak mampu memberi dunia untuk anda, tetapi saya sentiasa cuba memberi diri saya sendiri untuk anda. Apakah saya cukup buat anda? Adakah susuk jasad saya bisa untuk membuat anda gembira?

Jika di dalam 'Hitam' pada 2011 dulu, semuanya gelap bagi saya tetapi kini seperti mana anda, saya juga tidak sabar dan asyik memandang ke langit, menunggu munculnya Aurora. Sebagaimana cantiknya dia bercahaya menari di langit, sudah pasti dia lebih cantik lagi bila berada dalam dakapanku.

'Fi Amanillah'... Akan sentiasa ku sebut doa itu ketika dia nyenyak dalam pelukanku. Meminta agar semuanya sempurna dan baik-baik sahaja untuk dia. Meminta agar Dia memberi pertolonganNya dengan meminjamkan kepada saya sedikit kekuatanNya agar menjadi seorang lelaki yang memiliki cukup kekuatan untuk melindungi.

Kerana itu jugalah saya pertanyakan adakah anda merasakan saya bukan lagi orang yang sama? Jika bukan, fikir sekali lagi.

Kerana ini, kerana dia, tidak mengapalah seandainya saya binasa.

Bersinarlah... bercahaya terang benderanglah wahai Aurora, dengan cahaya iman dan kasih sayangNya. Mereputlah saya menjadi debu yang hilang di bawa angin, tidak berupa di bawa arus, dan dilupakan. Itu tidak mengapa, ayah akan sentiasa di depanmu Aurora, kamu tidak akan melangkah sendirian, sentiasa akan ada ayah melawan dunia untukmu. Hancurlah saya, kamu hanya perlu meminta wahai cahaya mataku Aurora, maka hancurlah saya demi kamu. Kerana kamulah kebahagiaan yang abadi, kerana kamulah 'immortal happiness' buat ayah. Kita jumpa sedikit hari lagi..  

Sunday, 6 November 2016

Buat kekasih sejatiku.

Bila di minta untuk mengatakan sesuatu hari ini, saya termenung panjang. Fikiran saya terbuai jauh ke belakang. 

Kerana begitu panjang jika mahu saya ceritakan dalam penulisan. Namun masih saya terjemahkan ia di dalam bentuk penulisan, bukan luahan.

Kerana saya bukan lelaki yang pandai berkata-kata.

Datangnya kamu dalam sela masa kehidupan saya di mana saya bergelut untuk tidak lemas dalam airmata saya sendiri. 

Kenapa harus saya menjengah mencari-cari kunci ke gerbang pintu neraka sedangkan syurga berada di belakangku, di rumah.

Selalu kau katakan saya tidak romantis, tiada kata-kata cinta, tiada panggilan sayang. 

Selalu kau katakan malahan saya lebih meluahkan rasa cinta dan perlakuan sayang kepada haiwan peliharaan.

Melopong saya terdiam dan tidak tahu bagaimana untuk menjawab perihal itu, kerana saya tidak pernah sesekali menyangka perihal seperti itu akan menjadi isu. 

Kerana  tidak pernah saya cakna dalam perihal perbandingan kasih sayang yang dicurahkan terhadap haiwan dan manusia khususnya perempuan. 

Bisakah hal seperti itu di buat perbandingan?

Sudah saya katakan dari awal kenal, sememangnya saya seorang lelaki yang dingin, kaku, beku, yang tidak pernah tahu bagaimana untuk mengungkap kata-kata cinta dari seorang kekasih kepada kekasihnya.

Sungguh saya tidak pandai perkara itu sejak lama dulu sebelum kita bertemu. 
Saya juga tidak mengerti kenapa begitu sukar kata-kata cinta seperti itu untuk terluah dari bibirku.

Walhal kecintaanku begitu besar memenuhi ruang hati, yang hanya dapat di fahami oleh tuhan yang menciptakanku.

Tetapi berani saya katakan walaupun mulutku kaku, sepi tiada kata cinta dan rindu, rasa kecintaan dan peduli itu terlihat jelas dan terang dari perbuatanku di depanmu. 

Dapatkah kau nafikan itu? 

Ketuklah pintu hatimu dan tanyakan padanya siapa saya pada ia? 

Tetapi mungkin ada masanya saya sedikit lelah dengan kehidupan di luar sehingga saya merasa benci untuk keluar jika sesekali saya punya sedikit ruang untuk sentiasa berada di rumah.

Saya merasa kabur dengan keramaian. 

Saya merasa muak dengan jelingan orang. 

Saya merasa jengkel berpura-pura senyum dengan penuh kepalsuan. 

Saya merasa benci untuk senyum kepada orang yang saya tahu tidak senyum dan tidak endah dengan apa itu makna 'berbaik-baiklah sesama makhluk dan jangan kau sombong'.

Adakalanya ia semudah saya tidak punya wang.. 

Tetapi hari ini jika di tanya apakah pengharapan yang saya harapkan terjadi pada diri kamu? 

Yang bersahaja terlintas dalam fikiranku? 

Ia terlahir dari hati, agak tidak berani untuk saya tuliskan di sini, bimbang ia menjadi satu doa, tapi tidak! Wahai Allah, sesungguhnya saya tidak sesekali mahu terjadi seperti itu.

Tetapi kita semua tahu hakikat mati itu pasti. Jika saya yang pergi dulu, ampunkanlah segala kesalahan kata dan perbuatanku. Sampaikanlah rayuan memohon keampunan dari saya kepada semua mereka yang mengenaliku, memohon agar dimaafkan dan dihalalkan segala-galanya sepanjang kehidupanku. 

Dan jika kau yang pergi dulu, ketahuilah saya akan menjaga dan melindungi Aurora lebih dari nyawaku.

Dan jika kau yang pergi dulu, ketahuilah bahwasanya saya sentiasa redha denganmu.

Saya ini lelaki jahil buta agama, menurut pengetahuan saya, syurga dan neraka bagi seseorang isteri itu terletak pada redha suaminya. Betulkanlah andainya saya salah.

Sudah tentu saya mahu kau ke syurga wahai kekasihku, segala keburukanmu saya biarkan berlalu seperti angin yang menyapa wajahku.

Kelantangan dan amarahku hanya disitu, ia selalu berakhir di situ, tidak terpahat dihati.

Kerana saya mahu kau ke syurga. Seandainya lelaki jahil seperti saya ini layak, seandainya tuhan memberi kuasa sebesar itu kepada sang suami seperti saya..

Kuasa sebesar itu.. menentukan syurga atau neraka terhadap sang isteri. 

Maka saya redha denganmu selamanya. 

Siapapun di antara kita yang pergi terlebih dahulu menghadap Allah, ketahuilah selamanya saya redha denganmu, kerana kamu isteriku.

Kerana kamu isteriku yang akan bingkas bangun jam berapa pun aku kelaparan.

Kerana kamu isteriku yang selalu membuat minuman walaupun saya sedar adakalanya kau membenci sikapku.

Kerana kamu isteriku yang sentiasa ada dalam setiap saat kehinaanku.

Kata orang, kesetiaan sang isteri teruji saat suaminya tidak punya apa-apa. Kesetiaan sang suami teruji ketika dia memiliki segala-galanya.

Sejujurnya saya sangsi kalau ada masanya saya akan memiliki segala-galanya, walau apa pun yang ia maksudkan dalam kata-kata itu.

Sejujurnya yang saya yakin dan pasti, kau akan sentiasa teruji kerana hidup bersama lelaki miskin seperti saya.

Tidak pula bermaksud saya mahu bermalas-malasan, sudah pasti saya akan terus berusaha kerana saya percaya rezeki itu ada dimana-mana, saya adalah hamba dari Yang Maha Kaya.

Selamat menyambut ulang tahun kelahiranmu wahai kekasihku. 

Saya meminta semoga Allah memberikan yang terbaik untukmu.

Yang baik-baik saja untukmu.

Semoga kau dilindungi-Nya dari segala kejahatan dan keburukan walau apa pun rupa bentuknya.

Termasuk kejahatan dan keburukan yang datang dari diri saya.

Kerana hanya Dia sajalah yang Maha Tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Wednesday, 3 August 2016

Suara dari syurga.


   Jika ditakdirkan suatu hari nanti aku punya anak, akan aku terapkan segala kebaikan kepadanya sepertimana yang dia perlihatkan dan yang dia terapkan kepadaku. Semoga aku memiliki kekuatannya, ketabahannya, dan kesabarannya. Dan aku sangat berharap agar tuhan tidak akan membiarkan aku tersasar dari landasan keazaman yang seperti ini.

Sangat sukar untuk melihat dia mengalirkan air mata, boleh saja dikira dengan jari dan itu petanda yang baik menurut kata hatiku, petanda kami bukanlah tergolong dalam golongan orang yang derhaka. 

Tapi siapa sangka tanggapan itu salah sama sekali bilamana pada suatu malam aku terbangun dari tidurku dan terdengar seperti orang menangis. 

Yang pada kali pertamanya aku fikir dia selsema. Sehinggalah sampai kepada suatu hari aku terbangun dari tidur ditengah malam dan terdengar bunyi yang sama. 

Adakalanya aku tahu dia menangis kerana adik-beradik yang lain, adakalanya aku tahu akulah puncanya.

Ada hari-harinya di mana aku tidak dapat pulang kerana terlalu sibuk dengan kehidupanku, tapi aku tidak pernah terlepas untuk menelefon dia. 

Orang mau bilang aku manja ya terserah, yang pasti aku memang selalu merindukannya. 

Kalau menelefon, tidak ada apa-apa perihal yang penting pun untuk aku katakan, hanya cakap-cakap kosong. 

Halnya ialah aku tidak dapat duduk senang kalau sehari tak mendengar suara dia. Mau bilang rindu aku malu, padahal tidak ada halangan apa pun untuk aku mengatakan yang aku rindu. 

Mungkin kerana hati yang terlalu dingin membuat aku merasa janggal dengan perkataan itu. 

Sungguh, aku kekok, atau tidak biasa, atau tidak berani untuk menyebut perkataan sayang, cinta, rindu pada makhluk yang bernama perempuan. 

Aku harap dia tahu setiap kali aku menelefon itu tandanya aku rindu. 

Terlalu sulit dan ngeri untuk aku membayangkan bagaimana suatu hari nanti jika aku tidak lagi dapat mendengar suaranya, suara dari syurga.  Dialah malaikat yang tidak bersayap, yang sentiasa berada disisiku dalam apa keadaan pun, di saat aku berada di tempat yang paling gelap, paling sempit, yang  terbawah.. 

Sunday, 31 July 2016

Syurga untuk manusia sepertiku.


"Panas ni, kenapa tak pakai payung? Syurgalah selayaknya untuk anak soleh seperti engkau Farid".

Kata Syukri yang menghampiri dari belakang dan memegang bahu sahabatnya Farid, yang baru selesai berdoa di pusara ibunya yang tercinta. Petang tu panas agak lain macam, dengan tak ada angin, rasa berdenyut kepala. 

Farid tersenyum, tapi matanya jelas berkaca. Tanpa di tanya, Farid buka cerita..

"Kau tahu tak Syukri.. Sakit demamku, Mama tolong jaga. Sehari suntuk dia jaga aku, tolong letak kain basah kat kepala, tolong picit, urut, tolong masak itu ini, beli itu ini bagi aku makan. Sewaktu umurku sepuluh tahun aku masuk wad, masalah buah pinggang. Habis satu badan doktor tampal wayar-wayar, sekali tengok aku ni dah macam sakit nak mati. 

Apa yang kelakar, satu hari tu Tokwan (dah arwah) datang dari Penang menziarahiku. Aku masih kecil lagi, katil pun dipasang kandang besi, masa dia menghampiri katil, dia sudah ada dalam penglihatanku, daripada pembaringan aku bangun berdiri atas katil pegang kandang besi dan senyum pada dia. Tokwan buat muka terkejut, muka pelik. 

"Kata tak boleh bangun, tak boleh bercakap, ni elok ja ni??" Soal Tokwan pada Mama.

"Hmmmmm???" Aku pula yang buat muka pelik. 

Rupa-rupanya dah miscommunication. Aku tak ingat siapa, sama ada Mak Njang atau Maksu yang datang melawat sewaktu aku sedang tidur dengan wayar berselirat satu badan, kebetulan salah seorang  daripada mereka datang melawat. Maksu kalau tak silap aku. Dah dilihatnya aku macam itu, dia boleh call Tokwan, bagi berita gempar cakap aku tak boleh bercakap, tak boleh bangun. 

Ohhh.. patut la Tokwan buat muka terkejut.. 

Ada satu malam tu Mama nak keluar pegi pekan, nak beli apa-apa makanan sebab aku tak nak makan makanan hospital, tak sedap. Aku nak nasi ayam dengan patung Ultraman Ace. Mama pun keluar la pegi beli.. Dapat la aku nasi ayam dengan Ultraman Ace malam tu. Itu kat hospital, sakit. Dah keluar pun perangai macam orang sakit juga. Masa darjah enam dulu, hadiah birthday aku nak patung Robocop. Mama dengan arwah bapak nak bagi sejadah tapi aku berkeras nak juga Robocop. Tekan butang belakang kepala, mata Robocop tu menyala dan dia cakap :

"freeze! you are under arrest!" Lepas tu ada bunyi tembak "tatatatatatatat!"

Sudahnya, aku dapat Robocop tu. Bongsu konon.

Apa lagi yang aku nak? Apa yang aku nak yang Mama tak buat? Aku beli keropok ada muka Gaban, aku suruh Mama lukis Gaban tu, Mama lukis. Nak basikal? Dapat. Pagi petang siang malam nak makan Nestum? Mama buat. Lepas habis isap sebotol susu nak lagi, Mama buat. Kalau tak buat, aku tunjuk perasaan. Pegi duduk kat bucu dinding, masuk bilik duduk kat belakang pintu buat muka sedih macam esok dah nak mati. 

Nampak comel bukan? Memang comel sebab kecik lagi, orang tak panggil jahat, orang panggil nakal atau buas. 

Tunggu besar sikit..

Satu tengahari tu aku balik dari sekolah Long pesan -

"Mama pesan jangan bawak motor hari ni"

Aku tak faham.. pesanan jenis apakah itu? Aku naik jugak, bawak member pusing Lake Garden. Sekali kena tahan dengan polis trafik, motor kena sita pasal tak ada lesen. 

Siapa bayar bawa keluar motor? Mama bayar.

Terpatahkan nombor plat kereta, siapa bayar? Mama bayar.

Duduk dalam kereta Datsun Mama, main pusing-pusing stereng, gatai pulak tangan pi turun handbrake, kereta berjalan masuk longkang, siapa bayar kos repair? Mama bayar.

Apakah salah satu daripada tanda-tanda akhir zaman? Bila ibu melahirkan tuannya.

Mama selalu, Mama always masak untuk aku. Dia takkan sentuh makanan yang dia sendiri masak selagi aku belum makan dulu. Kadang-kadang malam baru dia makan. Apa yang dia makan? Nasik sejuk, kicap dan lebihan kuah lauk-lauk yang dia masak siang tadi yang dah tinggal kuah, isi lauknya aku dah habiskan. Dah kenyang, bersandar kat sofa tengok tv, dah tak peduli bila dengar suara azan. 

Mama selalu, Mama always buat air untuk aku.

Mama, nak milo, nak teh, nak oren, nak soya, nak semua..

Mama buat.

Bila Mama -

Farid tolong buat teh, tolong ambik sat kain kat luar tu nampak macam nak hujan, tolong picit sat kaki, tolong pegi kedai sat, tolong beli roti, tolong picit sat kepala, tolong picit sat belakang"

Aku? Buat bodoh tengok tv tak cakap apa, kadang-kadang buat tapi sambil buat muka tak puas hati, kadang-kadang sound terus cakap malas, tak larat, letih, kenapa always aku yang kena buat? Kenapa itu? Kenapa ini?

Sudahnya? Mama bancuh sendiri teh setiap pagi, makan ubat sakit jantung, kutip baju, basuh baju, masak nasik, jaga cucu, cuci meja, cuci lantai, cangkul rumput, bagi kucing makan, cuci taik kucing, urut kaki sendiri, urut lutut sendiri, urut belakang, urut bahu sendiri.

Aku? Bangun pagi pegi kerja, balik kerja, tengok tv, tidur. 

Aku? Beli iPhone, beli iPad, beli iPod, beli kasut Timberland, kasut Nike, baju AX, tali pinggang AX, beli helmet, beli jam, beli jaket, pegi bercuti, makan sedap-sedap, beli kereta beli motor dua tiga biji.

Mama? Haram habuk pun tak ada, hari ke hari membawa ke tahun, dia pakai dua helai baju kurung itulah ulang-ulang. Makan nasik sejuk, biskut kering, roti, mi segera. 

Aku? Sedap tidur dalam bilik, atas katil, sedap. 

Mama? Hampar tilam kat lantai, tidur kat ruang tamu. Kadang-kadang sampai ke Subuh terlena atas sejadah. Kalau ada ular masuk? Lipan? Penyamun? Kau rasa siapa yang nak kena dulu?

Sekarang kau katakanlah padaku Syukri, apakah masih layak syurga untuk manusia sepertiku?"

Allahuakhbar, Allahuakhbar..

Dah azan.. Dah masuk waktu solat Asar. Serentak hujan pun turun.. Dengan panas terik, angin tak ada tahu-tahu hujan.. 

"Jom Farid, ambik wudhuk, dah masuk waktu ni. Kedengaran seperti ibumu seorang yang sangat mulia orangnya, dengan izin Allah, percayalah, ibumu sudah lama memaafkan segala kesalahanmu Farid. Sekarang marilah kita, sujud dan mohonlah keampunan daripada Allah.."

Ajakan dan jawaban Syukri pada pertanyaan Farid sebentar tadi..